Penambahbaikan UPSR, PMR perlu menyeluruh

0

Ia harus ambil kira penilaian merangkumi aspek kognitif, perkembangan jasmani, emosi dan rohani
KUCHING: Penambahbaikan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) harus merangkumi semua aspek sekiranya kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata penambahbaikan itu bukan sahaja mengambil kira penilaian yang merangkumi aspek kognitif bahkan juga perkembangan jasmani, emosi dan rohani.

“Ia juga termasuk aspek kebolehan dan kemahiran berfikir, kebolehan dan kemahiran menyelesaikan masalah, daya kreativiti dan inovasi sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak tersebut,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut beliau, sekiranya keputusan untuk mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu dilakukan dan perlu penambahbaikan ia juga perlu menekankan aktiviti kokurikulum sewajarnya.

Namun dalam pada itu katanya, penambahbaikan itu tidak harus bersandarkan kepada aspek kognitif sahaja tetapi secara holistik dan bersepadu kepada pelajar.

“Ini kerana pendidikan adalah bertujuan membangunkan potensi seseorang individu secara holistik dan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan akhbar pada Rabu lepas menyiarkan kebanyakan peserta yang hadir dalam perbincangan meja bulat kedua mengenai pemansuhan UPSR dan PMR mahu kedua-dua peperiksaan itu dikekalkan tetapi perlu penambahbaikan.

Tokoh akademik dan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dipetik sebagai berkata sistem dua peperiksaan itu perlu diubah bagi memperbaiki kelemahan sedia ada.

“Peperiksaan perlu ada untuk menilai apa yang diajar sebelum ini, tetapi bagaimana peperiksaan itu perlu dibuat dan dibincangkan serta diberi perhatian.

“Bagaimanapun, kebanyakan mereka yang hadir mahu UPSR dan PMR dikekalkan tetapi kerajaan memperbaiki segala kelemahan termasuk meningkatkan kualiti guru,” kata Abdul Rahman.