Kem pembalakan diserang

0

Kuarters pekerja, peralatan kem di Ulu Sebangan, Simunjan dibakar lebih 100 orang

SIBU:Sebuah syarikat pembalakan di Ulu Sebangan, Simunjan mengalami kerugian yang dianggarkan lebih kurang RM2 juta setelah kuarters pekerja dan pelbagai peralatan kem pembalakan dibakar oleh lebih 100 orang di kem pembalakan berkenaan Isnin lalu.

MUSNAH: Salah sebuah jentera berat milik syarikat dibakar dalam kejadian di kem pembalakan di Ulu Sebangan, Simunjan.

Kejadian itu berlaku dipercayai berpunca daripada penduduk kampung berkenaan mendakwa syarikat terbabit menjalankan operasi pembalakan secara tidak sah di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.

Difahamkan syarikat berkenaan iaitu Sri Berjaya Enterprise & Co. telah beroperasi di situ sejak lebih sebulan lalu.

Menurut laporan, terdahulu sebelum insiden tersebut, mandur kem pembalakan berkenaan pernah membuat laporan polis setelah sekumpulan penduduk kampung membuat sekatan jalan pada jam 9.00 pagi pada 15 Oktober lalu bagi menghalang jentera berat milik syarikat memasuki kem di Kilometer 2.5 Ulu Sungai Selabu, Sebangan.

Namun tindakan itu tidak menghalang seramai 32 pe-kerja kem pembalakan di situ menjalankan tugas-tugas harian mereka sehinggalah pada jam 2.55 petang pada Isnin lalu, apabila kem pembalakan itu diserbu lebih 100 orang yang diketuai empat orang yang dikenali mandur syarikat.

Menurut kenyataan polis,  mandur syarikat yang berumur 36 tahun dan rakan-rakannya telah dilemparkan dengan kata-kata kesat dan diugut supaya keluar dari kuarters kem pembalakan dalam tempoh 15 hingga 30 minit sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi kepada mereka.

Mandur dan rakan-rakan sekerjanya terpaksa bergegas melarikan diri dari situ se-telah salah seorang daripada kumpulan tersebut melepas-kan tiga das tembakan senapang patah.

Kumpulan tersebut juga dilaporkan melontarkan batu ke arah para pekerja itu yang bertempiaran lari dari situ.

Mandur turut memberitahu bahawa dia dan rakan-rakannya sempat melihat bagaimana kem mereka dibakar dari jarak lebih kurang 500 meter dan tidak berpatah balik ke situ dan terpaksa tinggal di sebuah kampung berdekatan.

Pada keesokan hari sekitar jam 8.30 pagi, Pengarah Urusan Syarikat Lau Poung Siing dan tiga pekerja lain tiba di kem pembalakan tersebut untuk meninjau dan meng-ambil gambar di tempat yang terbakar.

Peralatan kem yang turut musnah dibakar termasuk sebuah pam trak, dua  kenderaan pacuan empat roda, moto greder, cermin lori balak dipecahkan, Traktor D 155 serta dua unit bateri dicuri, hos minyak dipotong, penu-tup minyak dibuang dan tangki minyak di isi tanah, dua unit bateri Shovel 966E dicuri, wayar Shovel 966D dipotong, bateri excarater Hitachi 2×200 dicuri, satu dram (1,600 liter) juga diisi dengan tanah dan beberapa peralatan alat ganti, barangan kepunyaan syarikat dan para pekerja sama ada dimusnahkan atau dicuri.

Polis telah mengesahkan dan telah menerima laporan berkenaan insiden tersebut.