Kolej Komuniti kini sediakan program sijil separuh masa

0

Pekerja boleh menimba kemahiran tanpa perlu ambil cuti

JITRA: Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi semalam melancarkan Sijil Modular Kebangsaan secara separuh masa sebagai pendekatan baru yang lebih fleksibel bagi menggalakkan masyarakat mendapatkan latihan kemahiran.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata melalui pembelajaran separuh masa, golongan pekerja boleh menyertai program modular itu di institusi tersebut tanpa perlu mengambil cuti atau berhenti kerja.

“Tumpuan kini khusus dalam usaha melonjakkan peratusan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23 peratus kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang 2015.

“Melalui pelaksanaan program modular separuh masa ini, ia membolehkan pelajar mengikuti pelbagai modul jangka pendek berasaskan keupayaan mereka dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program itu di Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, di sini.

Katanya mereka yang berminat mengikuti program ini juga tidak memerlukan sijil lain sebagai prasyarat kemasukan, manakala setiap pelajar pula akan diajar mengikuti kemahiran asas sesuatu bidang.

Ini selaras dengan objektif Kolej Komuniti yang berperanan untuk memberi latihan dan kemahiran kepada masyarakat setempat di samping memberi peluang kepada pelajar lepasan menengah yang tercicir daripada pendidikan formal, kata beliau.

Katanya buat masa ini sebanyak 48 kursus ditawarkan dan ia dijangka meningkat kepada 135 kursus berlainan menjelang 2015.

Beliau berkata kementerian turut mensasarkan jumlah kemasukan ke kolej komuniti meningkat daripada 20,000 pelajar kepada 120,000 menjelang 2014.

“Melalui bajet baru-baru ini juga, kolej komuniti merupakan antara institusi yang dipilih untuk menjayakan Latihan 1Malaysia dan kolej komuniti mendapat peruntukan sebanyak RM205 juta berbanding RM144 juta pada tahun ini.

“Penambahan peruntukan ini mewajarkan kolej komuniti untuk bergerak lebih cergas dan dinamik,” katanya. — Bernama