Sertailah badminton Terbuka Bumiputera Sarikei 12-14 Nov

0

SARIKEI: Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sarikei akan menganjurkan Kejohanan Badminton Terbuka Bumiputera Berkumpulan 2010.

Kejohanan yang turut dikelolakan bersama oleh Persatuan Badminton Bumiputera Bahagian Sarikei (PBBBS) dengan kerjasama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Sarikei itu dijadualkan berlangsung pada 12-14 November depan di Dewan Perpaduan Sarikei.

Pertandingan terbahagi kepada beberapa kategori iaitu beregu terbuka, beregu campuran dan beregu veteran lelaki dan wanita.

Penyertaan bagi bahagian lelaki hanya terbuka kepada kaum Bumiputera namun bagi bahagian wanita, ianya terbuka kepada semua kaum.

Format pertandingan pada pusingan awal adalah secara liga berkumpulan namun sebaik sahaja saingan memasuki separuh akhir, sistem kalah mati akan diguna pakai.

Pengelola bersama pertandingan ini, Sunggom Aji berkata objektif pertandingan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama peserta selain mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan badminton ini.

“Kita berharap seluruh warga Bumiputera yang mempunyai minat dan bakat dalam acara sukan ini akan dapat turun padang dan menyertai pertandingan ini kerana banyak manfaat yang akan diperolehi melalui penglibatan sukan ini.

“Namun begitu, pihak kita sedar sambutan daripada golongan wanita Bumiputera terhadap sukan ini masih lagi kurang dan bagi mengatasi masalah tersebut untuk kategori wanita sahaja, kita buka ia kepada warga bukan Bumiputera dalam usaha untuk merancakkan lagi pertandingan,” kata Sunggom sewaktu ditemui oleh pemberita di pejabat JASA bersama dengan wakil pihak penganjur, Kaunselor Ahmad Adai di sini kelmarin.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM200 bagi satu pasukan dan borang penyertaan haruslah dihantar selewat-lewatnya 10 November depan, jam 5 petang di bilik bilik mesyuarat Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (KPSU) Bahagian Sarikei.

Hadiah menarik berupa wang tunai, piala serta pingat sedia menanti para pemenang.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Sunggom Aji di talian 019-8986899, Kaunselor Ahmad Adai (019-8181038), Iskandar (010-5486945) dan Redzuan (013-5681995).