Bayaran pentadbiran 40 peratus bagi aktiviti kebajikan tidak wajar

0

KUCHING: Tindakan sesetengah pihak meminta bayaran pentadbiran sebanyak 40 peratus dalam menjalankan aktiviti kebajikan adalah sesuatu yang tidak wajar.

Presiden Cheshire Home Dato Sri Ang Lai Soon berkata sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak sepatutnya meminta ‘management fees’ secara berlebihan dalam menjalankan aktiviti mengumpul dana.

“Kita perlu ada kredibiliti dalam menjalankan perkara-perkara amal dan berbelanja secara bijak dalam mengendalikan sesuatu acara atau sesebuah rumah kebajikan.

“Setiap sen perlu dikira dan penyelewengan patut dielakkan,” katanya.

Teks ucapan Ang dibaca oleh Timbalan Presiden Cheshire Home

Dr Lim Thian Siong yang mewakilinya ketika penyerahan cek bernilai RM73,500 daripada UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) kepada Cheshire Home di sini, semalam

Dana itu akan digunakan untuk memperbaiki tempat kediaman penghuni dan untuk membeli barang dan kelengkapan perubatan seperti kolam fisioterapi, tandas serba guna untuk orang kurang upaya serta kelengkapan fisioterapi lain.

Ang berkata sekiranya mereka (NGO) mendapat sebarang dana atau sumbangan dari luar ia sepatutnya digunakan untuk operasi rumah kebajikan sahaja.

Katanya Cheshire Home yang bermula daripada sebuah bangunan kecil berjaya menjadi rumah kebajikan terbesar di negara ini hasil kredibiliti yang diamalkan para pentadbirnya.

“Saya tidak pernah membenarkan mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan atau memburukkan badan ini dengan apa cara sekalipun kerana tidak ingin kredibiliti yang  terbina selama ini hilang,” katanya.

Beliau selaku penghuni dan ahli jawatankuasa Cheshire Home mengucapkan terima kasih kepada pihak UMW Toyota.

Cheshire Home merupakan salah satu daripada empat penerima di seluruh Malaysia selain daripada The National Cancer Society, Pertubuhan Kanak-kanak Insan Istimewa Cemerlang, Selangor dan Rumah Kanak-kanak Bondulu Gereja Katolik Toboh, Tambunan Sabah.

Tahun ini jumlah derma yang diberi oleh UMW Toyota adalah sebanyak RM339,528 untuk keempat-empat penerima ini.

Dana itu diperolehi daripada hasil jualan tiket konsert dan sumbangan korporat ‘Orchestra Citta di Firenze’ di Itali yang telah menarik 800 peminat muzik klasik di bawah program Toyota Classic.

Turut hadir menyumbangkan cek adalah Presiden UMW Toyota Kuah Hock Heng.