Jabatan Warisan bantu Sarawak dapatkan kembali artifak Gua Niah

0

MIRI: Jabatan Warisan Negara akan membantu kerajaan negeri membawa pulang rangka manusia purba yang ditemui di Gua Niah yang kini berada di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat.

Pesuruhjaya Warisan Negara Profesor Emeritus Datin Paduka Zuraina Majid berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Muzium Sarawak dan Universiti Nevada untuk memastikan rangka manusia itu berjaya dipulangkan ke sini.

“Saya beri jaminan akan membawa rangka manusia purba berkenaan pulang ke sini agar kajian lanjut terhadapnya dapat dilaksanakan,” katanya berucap pada majlis penutupan Seminar Antarabangsa Arkeologi Borneo di Hotel Imperial malam kelmarin.

Hadir sama Presiden Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM) Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Pengarah Muzium Sarawak Ipoi Datan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semasa merasmikan seminar mencadangkan agar rangka manusia purba itu dibawa pulang ke sini.

Terdapat lebih 200 rangka manusia purba ditemui di pintu barat Gua Niah antara 1957 dan 1967 dan daripada jumlah itu, 122 dibawa menggunakan kapal ke Universiti Nevada untuk dijadikan bahan penyelidikan oleh pakar arkeologi Richard dan Sheilagh Brooks.

Walaupun Richard dan Sheilagh sudah menyediakan beberapa laporan mengenai penemuan rangka manusia itu, namun sehingga kini tiada satu pun diterbitkan.

Selain itu Dr Zuraina berkata, jabatannya akan membantu Sarawak mencalonkan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia seperti Taman Negara Gunung Mulu.

Sementara itu, kira-kira 30 kertas kerja dibentangkan meliputi semua aspek prasejarah, tapak arkeologi dan pemuliharaan tapak arkeologi di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia selain Kalimantan, Brunei, Australia dan Filipina.

Seminar berkenaan dianjurkan Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak, Jabatan Muzium Sarawak dan Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia.

Antara objektif seminar ialah membincangkan penemuan terbaru tapak warisan arkeologi di Borneo dan Asia Tenggara yang mana maklumat ini akan digunakan ahli arkeologi untuk melihat persamaan dan perbezaan yang dapat dikaitkan dengan teori terkini atau menghasilkan teori baru.

Selain itu ia untuk berkongsi maklumat dan kepakaran dalam bidang arkeologi di Asia Tenggara.

Melalui seminar ini, ia diharap dapat menganalisis kaedah penyelidikan dan mengenal pasti isu dan masalah agar kita dapat menghasilkan penyelidikan saintifik yang lebih baik pada masa depan.