Kereta automatik untuk ujian memandu

0

Kemudahan untuk mereka yang kurang mahir menggunakan kereta manual

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk membenarkan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu di negara ini melalui penambahbaikan yang terkandung dalam Kurikulum Baharu Pendidikan Pemandu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata bagi menggubah peraturan sedia ada iaitu hanya kenderaan manual boleh diguna untuk ujian memandu maka beberapa pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Lesen Memandu) 1992 perlu dibuat.

Perubahan perlu dilakukan terhadap struktur kurikulum pemandu, sistem ujian memandu dan memperkenalkan lesen memandu kelas automatik, katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) dan Matulidi Jusoh (BN-Dungun) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan modul baru bagi ujian memandu kereta automatik bagi memberi kemudahan kepada pihak yang kurang mahir menggunakan kereta manual terutama wanita dan warga tua yang ingin mendapatkan lesen memandu kelas automatik sahaja.

Kepada soalan Abdul Manan mengenai kandungan modul kurikulum baru, Abdul Rahim berkata ia akan memberi penekanan kepada tiga aspek penting iaitu pengetahuan kognitif pemanduan selamat untuk membolehkan mereka mengetahui banyak perkara berkaitan undang-undang dan peraturan di jalan raya.

“Selain itu ia juga memberi penekanan terhadap kemahiran pemanduan selamat iaitu harus ada kemahiran tinggi dalam mengendalikan kenderaan dan menggunakan jalan raya dengan baik,” katanya.

Abdul Rahim berkata kurikulum baru itu juga diharap dapat meningkatkan budaya mengutamakan keselamatan untuk melahirkan pemandu yang berdisiplin dan bertanggungjawab di jalan raya.

Dalam pada itu beliau berkata kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati 67 peratus kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada kecuaian manusia, 28 peratus (keadaan jalan), manakala selebihnya disebabkan keadaan kenderaan.

Kurikulum baru itu yang memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan bagi dilaksanakan akhir tahun ini, disediakan oleh jawatankuasa khas terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan ahli akademik dari institusi pengajian tinggi, bagi meningkatkan bidang pemanduan selamat serta berkualiti. — Bernama