18 stesen pertanian akan dibuka semula

0

KUCHING: Sebanyak 18 buah stesen pertanian akan dibuka semula, manakala dua buah stesen baru akan dibina di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Fungsi utama stesen pertanian adalah untuk menjalankan aktiviti pengembangan pertanian dan latihan.

Menteri Permodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata melalui pembukaan semula stesen pertanian ini  dapat membantu para petani untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Lihan Jok (BN-Telang Usan) berkenaan dengan peranan serta fungsi stesen pertanian dalam membantu penduduk di luar bandar khususnya di Long Lama dan Apoh Tutoh.

Tambahnya lagi, bagi menampung kekurangan tenaga pekerja di Jabatan Pertanian, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Sarawak telah mengeluarkan iklan mengenai 96 kekosongan jawatan untuk berkhidmat di stesen pertanian ini.

Sebanyak 18 buah stesen pertanian yang akan dibuka semula itu bertempat di Sri Aman (Nanga Entalau dan Nanga Patoh), Sibu (Tamin, Nanga Singat, Ngemah dan Nanga Machan), Kapit (Nanga Bangkit, Lusong Laku dan Long Jawe), Mukah (Nanga Semah dan Tekajong), Miri (Suai, Long Teru, Long San, Lio Matu dan Long Banga), Betong (Nanga Spak) dan Limbang (Ba’ Kelalan dan Lawas).

Manakala dua buah stesen baru akan dibina di Sungai Tunoh dan di Nanga Engkuah, Song, yang kedua-dua-nya dalam bahagian Kapit.