Polis tahan 62 lelaki dalam serbuan ke pusat perjudian

0

KUALA LUMPUR: Polis menahan 62 lelaki, termasuk 57 yang sedang asyik berjudi, dalam ‘Ops Dadu’ ke atas empat buah premis yang menjalankan kegiatan mesin judi berkomputer di sekitar Medan Idaman, Batu 5 Jalan Gombak, di sini malam kelmarin.

Pegawai Turus Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat D7 Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah berkata 85 buah mesin judi berkomputer dirampas dalam operasi memerangi perjudian yang dijalankan serentak kira-kira jam 8.30 malam.

Beliau berkata 22 daripada 57 lelaki yang ditahan ketika berjudi itu adalah pemegang status penduduk tetap manakala lima lagi adalah penjaga premis terbabit.

“Ekoran serbuan hasil maklumat penduduk sekitar itu, wang tunai berjumlah RM1,163 turut dirampas,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Razali berkata kesemua mereka yang ditahan berumur antara 23 dan 56 tahun.

“Pusat-pusat judi ini telah beberapa kali diserbu, namun pemiliknya tegar dan tidak takut meneruskan kegiatan haram mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun.

Sementara itu, dalam serbuan ke atas sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew Cheras pada jam 10.45 malam, sembilan wanita warga China yang berumur lingkungan 21 dan 26 tahun, dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan.

“Semasa serbuan ‘Ops Noda’ itu dilakukan, enam daripada GRO ini sedang berhibur bersama pelanggan masing-masing manakala tiga lagi sedang menunggu pelanggan. Lapan wanita China ini didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Razali berkata enam lelaki yang merupakan pelanggan pusat karaoke yang berumur lingkungan 20 hingga 23 tahun serta seorang lelaki berusia 39 tahun yang merupakan penjaga premis itu turut ditahan.

Katanya kesemua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan lanjut. — Bernama