Masterpiece menang besar di Anugerah Muzik Dayak

0

KUCHING: Anugerah Muzik Dayak 2010 (AMD) pada malam kelmarin menyaksikan sebuah kumpulan yang masih baru dalam Industri Muzik Dayak, Masterpiece berjaya memenangi empat anugerah.

KEMENANGAN BESAR: Masterpiece beraksi dengan anugerah Kulit Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, dan Anugerah Kumpulan Dayak/Duo Popular. Turut kelihatan Sylvester (dua kiri) dan Ari (tiga kiri).

Diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), kumpulan rock dari Sibu itu mencatatkan pencalonan tertinggi dalam enam kategori seperti, Artis Baru Terbaik (Iban); Muzik Video Terbaik; Kumpulan Terbaik/Duo; Vokal Terbaik (Lelaki); Kulit Album Terbaik (Iban) dan ‘Album of the Year’ (Iban).

Mengeluarkan album mereka pada 2009, ‘Merindang ke Bintang’ yang berjaya mencuri hati ramai perminat sekali gus melayakkan mereka memenangi anugerah Artis Baru Terbaik (Iban) dan ‘Album of the Year’.

Mereka juga memenangi Kulit Album Terbaik dalam kategori Iban dan juga Muzik Video Terbaik.

Vokalis kedua, ketika ditemui kelmarin melahirkan penghargaan kepada pengarah Arry Mred dan penolong pengarah Sylvester William atas kreativiti mereka dalam merakamkan muzik video untuk lagi ‘Bulat Atiku’.

“Ia hanya memakan masa selama dua hari di Jambatan Durin (Sibu),” jelas Kent.

Tambahnya: “Kita sedang mengusahakan album baru kita yang mana kita harap dapat keluarkan pada penghujung tahun depan. Buat masa ini, ia semuanya dalam Bahasa Iban walaupun kita ada terfikir untuk menulis lagu dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.”

Kumpulan terbaik/ Duo pula dimenangi oleh Rosiana Urai dan Dom Romeo dan vokal lelaki terbaik jatuh kepada Spitfire.

Bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7, Claudia Geres pula memenangi Vokal Wanita Terbaik dan artis Bidayuh yang baru, Johnny Tuk berjaya memenangi anugerah Artis Baru Terbaik (Bidayuh).

Di bawah kategori Lagu Patriotik Terbaik pula, Lerry Silas dan pengeluar Embat Lala pula menang dalam kategori Iban dengan lagu ‘Aram Semua’ manakala Edward Sayu memenagi kategori Bidayuh dengan lagu ‘Jaga Menua Kitai’.

Kategori Orang Ulu pula dimenangi oleh  Eddie Kuwing dan pengeluar Senah Ukong dengan lagu ‘Sarawak Maju Dalem Malaysia’.

Acara kemuncak pada malam itu menyaksikan Clement Joys dengan lagunya ‘Entara Tua’ memenangi kategori ‘Songs of the Year’ untuk kategori Iban manakala Senah Ukong dengan lagu Melu Habong Ika’ menang dalam kategori Orang Ulu.

Artis Veteran Mike Rantai juga menang untuk kategori Bidayuh.

Antara anugerah lain yang dipertandingkan adalah anugerah Popular DAMA. Pemenang enam kategori itu ditentukan oleh undian menerusi sistem teks ringkas yang terbuka kepada pengguna Celcom sahaja.

Penyanyi Dayak Paling Popular (lelaki) dimenangi oleh Clement Joys manakala Penyanyi Dayak Paling Popular (Wanita) dimenangi oleh Winnie Albert.

Kumpulan paling popular pula dimenangi oleh Masterpiecem menjadikan ia anugerah kelima yang dimenangi oleh mereka manakala pemenang untuk lagu popular adalah seperti berikut: Clement Joys dengan lagu ‘Entara Tua’, Romina Grey Melvin (Bersendiri Lagi) dan Eddie Kuwing (Oba Ke Aya).