Setia Torres di Anfield: Hodgson

0

Pengurus Liverpool gariskan komitmen penyerang selepas dua gol benam Chelsea

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Roy Hodgson menegaskan Fernando Torres mahu kekal di Anfield selepas penyerang antarabangsa Sepanyol itu menjaringkan dua gol cantik untuk menewaskan Chelsea 2-0 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini, Ahad lepas.

Berdasarkan persembahan menarik Ahad lepas, Torres sudah menemui semula ketajaman yang hilang dalam dirinya hampir sepanjang tahun ini apabila menambah koleksi jaringannya untuk Liverpool musim ini.

Prestasi Torres itu turut meneruskan gelombang kebangkitan Liverpool, yang sekarang belum tewas lima perlawanan dalam semua pertandingan termasuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam EPL.

“Kami bercakap sepanjang masa. Beliau mahu kelab mencapai keputusan yang baik. Beliau mahu melihat kami bergerak ke arah yang betul,” kata Hodgson ketika merujuk tentang perhubungannya dengan Torres, yang sudah menjaringkan 60 gol dalam 79 penampilannya bersama Liverpool.

“Kami semua tertanya tentang masa depan semasa pengambilalihan kelab tetapi seperti mana saya sendiri, beliau boleh melihat masa depan yang cerah di sini.

“Beliau suka berada di Liverpool dan bermain untuk Liverpool. Saya tidak melihat sebarang kebimbangan berkenaan masa depan pemain ini, selagi kami mampu merapatkan kedudukan di kelompok atasan liga seperti yang sepatutnya.

“Berdasarkan prestasi ini, prestasinya nyata di tahap terbaik, ia permainan yang hebat. Fernando Torres merupakan seorang pemain yang penting untuk Liverpool, untuk mana-mana kelab sekalipun. Kita tidak akan dapat melakar kejayaan jika pemain di barisan hadapan tidak berupaya melaksanakan tugas mereka.

“Saya berharap Fernando akan berfikir sejenak dan berkata walaupun pasukan tidak bermula dengan baik, beliau yakin penamat musim yang hebat buat kelab ini.

“Saya gembira dengan prestasi pasukan secara keseluruhan, khususnya Fernando. Beliau telah menerima banyak kritikan, ada di antaranya melampau tetapi orang akan berkata beliau sudah kembali di tahap terbaiknya. Saya berharap itulah yang berlaku tetapi sememangnya ia berlaku hari ini (Ahad).

“Chelsea mempunyai banyak kejayaan dengan kualiti di barisan hadapan dan Liverpool memiliki Fernando. Saya berharap kami akan meningkatkan kualiti itu.”

Torres sendiri enggan membuat pengesahan ketika ditanya sama ada beliau merasakan sentuhan berbisanya merobek gawang lawan sudah kembali.

“Payah untuk mengetahuinya,” kata beliau. “Ia adalah penamat musim yang sukar bagi saya di Piala Dunia, saya mengalami banyak kecederaan dan ia adalah latihan yang sukar setiap hari.

“Setiap perlawanan saya berasa lebih baik, meningkat setiap hari. Saya tidak tahu jika saya boleh bermain di tahap terbaik saya dalam masa terdekat atau kemudian. Saya pasti saya akan melakukan yang terbaik secepat mungkin.

“Kritikan adalah sebahagian daripada kehidupan pemain bola sepak. Bermain sebagai sebuah pasukan seperti Liverpool, semua orang melihat apa yang anda lakukan di seluruh dunia seminit selepas itu. Saya tahu jangkaannya, saya sudah bersedia untuk bersaing dan mengembalikan prestasi saya.”

Menilai peningkatan mendadak yang ditunjukkan bukan sahaja oleh Torres tetapi pasukannya secara keseluruhan sejak kekalahan kepada Blackpool di tempat sendiri dan mensia-siakan pendahuluan ketika menentang Everton bulan lepas, lawan Liverpool perlu waspada.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti memberikan pujian kepada Liverpool di atas prestasi mereka walaupun beliau enggan meluahkan kekecewaan di atas cara pasukannya bermain dengan ketiadaan bintang tengah lasak, Michael Essien, yang mengalami kecederaan kaki.

Kecederaan Essien sememangnya membimbangkan Ancelotti kerana Frank Lampard dilihat masih belum dapat beraksi pada perlawanan menentang Fulham di Stamford Brid-ge esok (Rabu) kerana masih pulih daripada pembedahan hernia dan masalah pangkal paha. — AFP