DBKU sekali lagi menang anugerah bandar lestari

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila memenangi ‘Anugerah Bandar Lestari’ sempena majlis Anugerah Alam Sekitar Kebangsaan 2009/2010.

Datuk Bandar DBKU, Mohd Atei Abang Medaan berkata penganugerahan buat kali kedua itu merupakan satu penghormatan buat DBKU untuk terus meletakkan bandar raya ini sebagai destinasi terbaik.

“Kita amat berasa bangga dengan penganugerahan itu dan ini merupakan kali kedua DBKU menerima anugerah Bandar Lestari bagi peringkat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, rombongan para pegawai DBKU yang diketuai Mohd Atei meng-adakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam bagi menunjukkan anugerah tersebut kepada Ketua Menteri.

Anugerah itu telah diterima oleh DBKU di Putrajaya, Kuala Lumpur sempena Minggu Alam Sekitar Malaysia – MASM 2010 baru-baru ini yang disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato Sri Douglas Uggah Embas.

“Anugerah itu merupakan pengiktirafan pihak kementerian terbabit kepada DBKU yang telah melaksanakan dan menjalankan program penja-gaan alam sekitar yang terbaik di negeri ini,” katanya.

Mohd Atei memberitahu terdapat sembilan kriteria dihakimkan oleh pihak kementerian terbabit iaitu program pembersihan sungai efektif, dasar pengguna berbayar dalam pengurusan sisa pepejal dan kehijauan taman.

Selain itu, komitmen orang awam mengenai penjagaan kesihatan, kejiranan mesra dan program ‘Local Agenda’ (LA) 21 serta penanaman pokok dengan pemantauan inventorinya.

Kriteria lain termasuklah meningkatkan program keselamatan awam menerusi kesihatan sekolah, kempen kebersihan dan sebagainya.

“DBKU juga telah mengu-rangkan kesesakan kawasan bandar dengan memindahkan Pasar Jalan Gambier dan mempamerkan tenaga alternatif di Kuching Esplanade,” katanya sambil menambah DBKU juga melaksanakan program kehijauan landskap dengan memberi lebih oksigen.