HDC, pemilik bincang lanjut

0

Cari penyelesaian tunggakan lebih RM8 juta RPR Sg Plan

CARI PENYELESAIAN: Pemilik-pemilik rumah berbincang dengan Paul dan ahli jawatankuasa PKR Bintulu mengenai cara untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman perumahan daripada HDC semalam.

BINTULU: Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) akan berbincang lebih lanjut dengan para pemilik rumah flat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong melibatkan 900 pintu yang kini menghadapi tunggakan pinjaman berjumlah RM8,419,077.31.

Jurucakap HDC Miri dalam perbincangan dengan pemilik rumah di sini menjelaskan, pemilik rumah boleh membayar separuh daripada tunggakan pinjaman itu dan bakinya boleh dibayar secara ansuran.

“Pemilik rumah juga boleh meminta bantuan pinjaman daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) atau mengeluarkan wang caruman dalam Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya semalam.

Beliau berkata, apa yang penting pemilik rumah perlu membayar tunggakan pinjaman tersebut dan tindakan pendakwaan di mahkamah boleh dikenakan ke atas pemilik sekiranya mereka gagal menjelaskannya.

Terdapat 18 blok rumah flat di Sungai Plan dengan satu blok merangkumi 80 pintu. Pinjaman perumahan yang tertunggak itu melibatkan 900 pintu.

Lebih 40 pintu telah dikunci oleh HDC akibat tunggakan yang tidak berbayar dan tindakan pemberian notis mengarahkan pemilik membayar tunggakan itu juga telah dikeluarkan.

Tunggakan pinjaman yang paling banyak ialah RM18,000 melibatkan sebuah keluarga di flat itu.

Sementara itu, ahli rombongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Bintulu yang diketuai oleh pengerusinya Paul Raja hadir dalam perbincangan antara HDC dan pemilik rumah semalam.

PKR turut membuat beberapa rayuan kepada HDC untuk menyelesaikan permasalahan yang melibatkan pemilik rumah tersebut dengan sebaiknya.

Paul juga mahu HDC menunjuk dan menyerahkan waran mahkamah kepada pemilik rumah termasuk membawa bersama peguam sekiranya mereka ingin mengunci rumah pemilik tersebut.