Kadar jenayah terus menurun

0

Pasukan polis S’wak yakin capai NKRA penurunan 5 peratus dalam tempoh 50 hari lagi

SERONOK: Dr Chan cuba menunggang motosikal trafik yang turut dipamerkan sempena majlis perasmian Program Bandar Selamat di Miri, semalam.

MIRI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak yakin akan mencapai lima peratus penurunan kadar jenayah di negeri ini seperti yang ditetapkan da-lam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pe-ringkat kebangsaan tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata, sejak 1 Januari lalu sehingga semalam, PDRM Sarawak berjaya menurunkan kadar jenayah keseluruhan di negeri ini sebanyak 4.3 peratus.

“Ini bermakna kita hanya kekurangan 0.07 peratus untuk mencapai lima peratus penurunan kadar jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam NKRA bagi peringkat kebangsaan tahun ini,” jelas beliau.

Pun begitu, beliau yakin pa-sukannya berjaya mencapai sa-saran yang ditetapkan NKRA itu memandangkan mereka masih mempunyai baki 50 hari lagi sebelum tahun 2010 melabuhkan tirainya.

Manakala bagi jenayah jala-nan, katanya, PDRM Sarawak juga telah berjaya menurunkan kadar jenayah tersebut seba-nyak 19 peratus sekali gus bermakna mereka hanya kurang satu peratus untuk mencapai sasaran NKRA yang ditetapkan pada kadar 20 peratus.

Mohmad berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Bandar Selamat Bersama Masyarakat anjuran PDRM Miri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang berlangsung di Persiaran Kabor, Jalan Nakhoda Gampar di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan ialah Menteri Muda Komunikasi merangkap Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Datuk Bandar MBM Lawrence Lai Yew Son dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Hamza Taib.

Pada majlis sama, beliau  mengucapkan tahniah kepada pegawai dan anggota PDRM Miri kerana berjaya menurun-kan kadar jenayah sebanyak 12 peratus iaitu 70 peratus melangkaui sasaran NKRA.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohmad menegaskan tugas dan tanggungjawab mencegah jenayah bukan merupakan tugas polis semata-mata sebaliknya menjadi kewajipan semua pihak.

“Atas kesedaran pentingnya penglibatan masyarakat dalam setiap aktiviti atau program mencegah jenayah, maka wujudlah konsep Kepolisan Masyarakat untuk melibatkan penyertaan semua masyarakat dalam program seumpama ini,” katanya.

Justeru, menurut Mohmad, sistem ini diperkenalkan memandangkan polis tidak boleh menghapuskan jenayah secara lebih berkesan tanpa bantuan serta sokongan masyarakat setempat.

Selain itu, katanya, Kepolisan Masyarakat ini juga merupakan satu usaha kerjasama di antara polis dan orang awam dalam membanteras jenayah dengan lebih efektif dan efi-syen di samping mewujud dan melahirkan kefahaman, ke- percayaan dan tanggungjawab dua hala antara polis dan masyarakat setempat.

“Semakin dekat polis dengan masyarakat, semakin mudah tugas polis menjaga dan memelihara keamanan dan ketenteraman negara. Jadikanlah hubungan kedua-dua pihak ini seperti hubungan aur dengan tebing,” ujar beliau.