ICT lahirkan warga kerja Jabatan Akauntan yang kreatif, inovatif: Safiee

0

SARIKEI: Penerapan inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan menerusi penggunaan secara meluas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat melahirkan warga kerja yang kreatif dan inovatif.

Pengarah Bahagian Pengurusan Operasi Pejabat Perakaunan, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Safiee Mohammad Yusoff berkata, pendekatan tersebut akan dapat menghasilkan pengeluaran (output) yang melangkaui jangkaan pelanggan.

“Setiap warga JANM harus berani mengubah dan mencuba pendekatan baru dalam pelaksanaan tugas demi meningkatkan kualiti dan produktiviti penyampaian perkhidmatan.

“Inovasi dan integriti merupakan elemen-elemen yang amat penting dalam perkhidmatan awam dan menjadi faktor penggalak kepada warga kerja jabatan untuk terus berinisiatif dan beritizam dalam memastikan seruan Perdana Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

“Pembudayaan inovasi memerlukan transformasi minda dan sikap bagi membolehkan konsep kreativiti dan inovasi menjadi sebahagian daripada budaya hidup dan kerja warga JANM,” kata Safiee.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi dan Integriti Jabatan Akauntan Negara Malaysia Peringkat Zon Sarawak di Dewan Suarah di sini, petang semalam.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh JANM Cawangan Sarikei diserikan dengan persembahan multimedia, pelancaran Amalan 5S Peringkat Negeri Sarawak, penyampaian banting Amalan 5S, sijil Anugerah Pekerja Contoh 2010, sijil penyertaan dan pemenang Pertandingan Mencipta Logo 5S, Mencipta ‘Tagline’ 5S dan Pertandingan Mencipta Video Korporat jabatan.

Sementara itu, Pengarah Cawangan, JANM Cawangan Sarikei merangkap pengerusi sambutan program, Hazellenny Hafiza Hazemi dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa setiap kakitangan JANM harus bersedia menerima perubahan dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan pada setiap masa.

“Warga JANM harus bekerja dalam satu pasukan, berkongsi wawasan yang sama, komited, berdedikasi, bertanggungjawab dan sentiasa mempunyai keazaman untuk meningkatkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.

“Amalan berfikiran secara positif dan kreatif harus disemai dalam diri setiap warga JANM dan harus menjauhkan diri daripada amalan yang boleh membawa mereka ke arah perkembangan minda yang negatif,” ujar Hazellenny.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah JANM dari seluruh jabatan di Sarawak, wakil badan kerajaan yang lain dan pemenang pertandingan.