Harus berhijrah untuk maju

0

Tidak ramai anak muda Melayu sanggup pergi ke Kuala Lumpur, Johor Baharu untuk bekerja, berniaga

SIJIL: Putit menyampaikan sijil penyertaan program Kembara Hijrah kepada seorang peserta. Turut kelihatan, Ismail (tiga kanan), Mohidin (kanan) dan Adi (dua kiri).

BINTULU: Sikap gemar ‘duduk bawah ketiak ibu’ menyebabkan segelintir orang Melayu tidak dapat mencari rezeki di luar Sarawak, sekali gus sukar untuk maju.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen berkata, tidak ramai anak-anak muda yang sanggup berhijrah ke Kuala Lumpur atau Johor Baharu untuk bekerja atau berniaga berbanding kaum-kaum lain.

“Sikap duduk bawah ketiak ibu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Peluang untuk meningkatkan taraf hidup yang disediakan di tempat lain terbuang begitu sahaja,” katanya.

Pada majlis penutupan Kembara Hijrah di sini malam kelmarin, beliau berkata sikap demikian hanya merugikan kerana umat Islam dituntut agar berkorban.

Hadir sama, Residen Bintulu Ismail Mohd Hanis, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohidin Ishak dan Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.

Selain sedia keluar dari kampung untuk memajukan diri, belia harus meninggalkan elemen-elemen negatif.

Katanya, sikap malas, suka melepak, berbuat maksiat, mengumpat dan perkara-perkara negatif yang lain perlu dihindarkan agar umat Islam maju.

Beliau bagaimanapun berkata, mengabaikan semua elemen negatif belum memadai jika tidak memiliki kelayakan akademik yang tinggi.

Sehubungan itu Putit menggesa belia agar belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah berbanding ijazah sarjana muda.

“Beribu-ribu mereka yang memiliki ijazah sarjana muda pada masa sekarang bertugas sebagai sukarelawan dengan jabatan-jabatan kerajaan negeri kerana belum memiliki kerja tetap,” katanya.

Sementara itu, program Kembara Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah 1432H peringkat negeri bermula 3 Disember lepas yang disertai 246 belia.

Ismail berkata, kumpulan Kembara Hijrah mengadakan aktiviti kemasyarakatan di beberapa kawasan termasuk Kuala Tatau, Sebauh, Sungai Plan dan Segan.

Selain itu, program tersebut juga diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu yang membabitkan aktiviti keilmuan dan kesenian.

Katanya, maklum balas daripada para peserta menunjukkan program tersebut memberi manfaat kepada mereka.

“Harap program-program seperti ini kita dapat laksanakan lebih banyak lagi pada masa hadapan,” katanya.