Suburkan semangat sukarelawan generasi muda

0

Ini untuk menjamin keselamatan serta kesihatan masyarakat ke arah menjadikan Miri bandar raya hijau

SERTAI KAMI: Lai (dua kanan) semasa menerima kertas cadangan kempen daripada Yap (dua kiri) di Hotel Grand Palace, petang semalam.

MIRI: Semangat sukarelawan di kalangan generasi muda harus terus disuburkan demi menjamin keselamatan serta kesihatan masyarakat sejagat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata, aktiviti melibatkan sukarelawan tidak akan dapat dicapai jika tiada pembabitan secara langsung dan sokongan rakyat tempatan.

“Penglibatan rakyat dalam aktiviti sukarelawan sememangnya digalak demi memastikan Miri menjadi salah sebuah bandar raya yang mengutamakan aspek kehijauan,” kata Lai dalam sidang media di Hotel Grand Palace, petang semalam.

Menurut beliau, semangat sukarelawan yang kuat akan memberikan pulangan yang lumayan dalam bentuk kesejahteraan segenap aspek kehidupan kepada anggota masyarakat.

Justeru, pendidikan dan kesedaran yang diterap di kalangan generasi muda, terutamanya para pelajar harus diteruskan bagi kesinambungan budaya yang positif seperti itu.

Sementara itu, Pengarah Persatuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Singapura (UNAS) Yap Kwong Weng menyatakan bahawa UNAS dan Kelab Rotary Victoria Singapura (KRVS) akan bersama-sama mengadakan kempen ‘Sustainable Borneo’ di Miri yang akan diadakan pada Mac 2011.

“Saya berasa amat bangga dan gembira dengan keputusan yang telah dicapai melalui mesyuarat yang telah diadakan demi menjaga kepentingan bersama masyarakat sejagat,” kata Yap dalam sidang media yang sama.

Katanya, seminar dan pameran berkenaan adalah berkaitan dengan  semangat untuk menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan menjadi sukarelawan dalam segenap isu yang sedang dihadapi oleh masyarakat di dunia pada masa sekarang.

“Kita berharap banyak lagi pertubuhan NGO, golongan peniaga dan institusi pendidikan akan bersama-sama memberikan sokongan kepada kami sempena sambutan Tahun Hutan Antarabangsa PBB  pada tahun depan,” ujar Yap.

Pameran dan seminar selama dua hari tersebut akan berkisar tentang meningkatkan kefahaman dunia dan juga keamanan melalui peningkatan kualiti kesihatan, sokongan pendidikan serta pencegahan kemiskinan di kalangan masyarakat membangun.