S’wak perlu layanan berbeza

0

Perbaiki khidmat doktor udara, tele hospital bergerak secepat mungkin bagi memastikan ia tepati keperluan: Taib

100 TAHUN: Taib (kiri) menyampaikan buku ‘The First 100 Years’ Perkhidmatan Hospital Negeri Sarawak kepada Sister Annie Wan (duduk) yang pernah berkhidmat sebagai jururawat sehingga bersara pada tahun 1965. Sister Annie dilahirkan pada tahun yang sama dengan permulaan perkhidmatan Hospital Umum Sarawak iaitu tahun 1910. Turut kelihatan Abang Johari (kanan) dan Dr Azmi (dua kiri).

KUCHING: Kerajaan Pusat perlu memperkenalkan langkah yang lebih proaktif bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat di negeri ini, kata Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana terdapat beberapa program yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan tidak dapat dilaksanakan di negeri ini berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.

Menurut beliau situasi tersebut berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti  struktur geografi di negeri ini yang berbeza dengan negeri lain termasuk juga kependudukannya yang berselerak.

“Justeru itu, untuk masa hadapan, saya merasakan kita perlu sedar  bahawa Sarawak  memerlukan layanan berbeza daripada kerajaan pusat  dan seharusnya Sarawak tidak boleh lagi disamakan dengan negeri-negeri lain di semenanjung yang mungkin mudah dihubungi melalui jalan darat atau mungkin kerana penduduknya dekat-dekat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam bersempena dengan 100 Tahun Perkhidmatan Hospital Negeri Sarawak di sini malam semalam.

Beliau dalam ucapannya turut menyentuh mengenai program ‘1 Daerah 1 Hospital’ yang disifatkan beliau sukar dilaksanakan di negeri ini atau mungkin kurang berkesan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada Masyarakat.

“Kita lihat sahaja program 1 Daerah 1 Hospital, memang tidak dinafikan ia amat baik kerana dapat memudahkan rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Tetapi bagi Sarawak yang cukup luas ini dengan 60 peratus penempatan mempunyai tidak kurang daripada 50 keluarga serta keluasan sebuah daerah di negeri ini yang hampir sama dengan sebuah negeri di semenanjung sudah pasti dikhuatiri akan menyebabkan program ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya

Disebabkan itu beliau memohon  kerajaan pusat untuk menyediakan langkah terbaik dan bijak untuk memastikan masyarakat di negeri ini khususnya di luar bandar dapat menerima perkhidmatan kesihatan yang sempurna.

“Oleh itu bagi kita di sini, langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah memastikan setiap perkhidmatan seperti doktor udara dan juga perkhidmatan tele hospital bergerak diperbaiki secepat mungkin bagi memastikan ia kena dengan keadaan muka bumi dan juga kepadatan penduduk di seluruh Sarawak.

“Saya yakin bila ada perancangan teliti seperti ini kita mampu menjimatkan masa selain memberi kelebihan kepada rakyat untuk tidak membelanjakan wang yang begitu banyak semata-mata untuk berubat,” katanya

Beliau sebelum itu turut memberitahu sektor perubatan di negeri ini telah berkembang dengan pesat sejak adanya kemudahan-kemudahan moden dan juga pertambahan tenaga kerja profesional.

“Saya difahamkan kerajaan pusat telahpun bersetuju untuk membuka Institut Jantung di negeri iaitu di Samarahan dan kami (Kerajaan Negeri) amat berterima kasih dan menyokong usaha tersebut.

“Kalau dulu ratio untuk seorang doktor kepada pesakit ialah satu untuk lebih 2,000 pesakit, namun kini setiap doktor hanya perlu merawat 600 pesakit walaupun kependudukan kita semakin bertambah dan ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk Sarawak,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah  Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Morshidi Ghani dan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kesihatan Malaysia Datuk Dr Azmi Shafie.