Buaya tembaga terdampar di Pantai Teluk Chempedak

0

KUANTAN: Pengunjung pantai peranginan Teluk Chempedak di sini malam kelmarin digemparkan dengan penemuan seekor buaya tembaga seberat kira- kira 200 kilogram.

BUAYA TEMBAGA: Lima orang petugas penyelamat pantai mengangkat buaya tembaga sepanjang tiga meter dan seberat 200 kilogram di pantai Teluk Chempedak di Kuantan, malam kelmarin. — Gambar Bernama

Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan Mohamad Irwanis Seni berkata, seramai lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuantan bergegas ke pantai itu sebaik menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan buaya berkenaan pada jam 8 malam.

Beliau berkata pihaknya terus menangkap buaya berkenaan yang terdampar berhampiran kawasan batu-batu di pantai itu.

“Buaya sepanjang tiga meter itu tidak terlalu agresif ketika ditangkap,” katanya kepada Bernama di sini, semalma.

Katanya reptilia berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang lewat malam kelmarin.

Pengarah Perhilitan Pahang Khairiah Mohd Shariff berkata reptilia itu telah dilepaskan ke habitat semula jadinya pagi semalam.

“Pengunjung Pantai Teluk Chempedak tidak perlu risau dengan penemuan buaya berkenaan kerana pantai berkenaan bukan tempat haiwan itu bermain,” katanya.

Khairiah berkata, buaya itu mungkin tersasar keluar dari habitat asalnya ketika air pasang di muara Sungai Kuantan. — Bernama