Orang awam tumpaskan dua penyangak jalanan

0

SIBU: Dua penyangak jalanan yang dipercayai kerap melakukan kacau-bilau di kawasan Pasar Sentral di sini akhirnya tumpas di tangan orang ramai dalam satu adegan kejar mengejar di Jalan Channel sekitar jam 10.45 pagi kelmarin.

‘PENYANGAK SELEBRITI’: Dua suspek yang dipercayai sering melakukan jenayah jalanan di kawasan Pasar Sentral Sibu disorong keluar dengan sebuah beca dicelah-celah kesesakan orang ramai setelah mereka ditawan orang awam selepas cuba melarikan seutas rantai leher seorang warga emas di Jalan Channel pada Rabu.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 41 dan 42 tahun itu dipercayai telah merancang satu kemalangan olok-olok dengan menggunakan sebuah motosikal sebagai taktik mereka sebelum menyalahkan seorang warga emas berumur 60 tahun yang  ketika itu sedang berdiri di tepi jalan sebagai punca kemalangan itu.

Kedua-dua suspek yang bersenjatakan topi ke-ledar mengancam warga tua tersebut dengan memaksanya menyerahkan rantai leher atas kerugian yang dikatakan berpunca daripadanya.

Ketika warga emas itu sedang terpinga-pinga memikirkan siapa yang sepatutnya dipersalahkan, salah seorang daripada penyangak tersebut me-ragut rantai leher secara paksa dan terus cuba melarikan diri menggunakan motosikal.

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu bertindak secara beramai-ramai mengejar dua penjenayah tersebut manakala segelintir daripada orang awam yang begitu geram dengan kegiatan jahat mereka itu menumbuk kedua-duanya secara bertubi-tubi.

Insiden tersebut telah menarik perhatian orang ramai di situ yang menyebabkan kereta peronda polis tidak dapat memasuki kawasan tersebut.

Lebih menarik perhatian orang ramai, kedua-dua penyangak jalanan tersebut terpaksa diusung keluar dari tempat mereka tersungkur dengan sebuah beca.

Kedua-duanya diringi oleh beberapa pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sibu, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan  beberapa anggota polis sehingga ke Jalan Workshop sebelum mereka dihantar dengan kereta peronda polis ke Balai Polis Sentral.

Rantai leher yang dijumpai semula itu telah diserahkan kembali kepada pemiliknya yang turut pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis.

Menurut kebanyakan orang ramai di Pasar Sentral, kedua-dua penyangak tersebut hampir setiap hari berada di kawasan itu dan orang ramai tahu tingkah laku mereka.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail ketika dihubungi kelmarin mengesahkan penangkapan dua lelaki tersebut yang didakwa melakukan jenayah ragut itu.

Katanya, kerjasama orang awam membantu polis dalam membanteras jenayah amat dihargai oleh pihak polis terutamanya kejayaan penangkapan dua suspek tersebut.

Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa siri jenayah yang sering berlaku di kawasan Pasar Sental di sini dengan tertangkapnya dua penjenayah tersebut.

Shafie berkata,orang ramai perlu berwaspada dengan aktiviti seluk saku dan ragut yang sememangnya dijangka akan meningkat pada musim cuti dan perayaan ketika ini.

“Lebih-lebih lagi musim perayan Hari Krismas yang akan datang, penyeluk saku dan peragut akan berkeliaran untuk mencari mangsa dan sasaran mereka di tempat yang sesak dengan orang ramai seperti di Pasar Sentral,” ujarnya sambil menambah orang ramai perlu lebih berhati-hati semasa membeli-belah.

“Sentiasa berwaspada semasa berjalan dalam kesesakan orang ramai dan ketika membuat belian,” kata Shafie memberi nasihatnya.