Pemancing temui syiling tinggalan pemerintahan keluarga Brooke

0

MIRI: Hobi memancing ikan di Muara Sungai Miri membawa tuah kepada seorang lelaki tempatan apabila dia menjumpai duit syiling pe-ninggalan pemerintahan ke-luarga Brooke berusia 121 tahun.

DUIT SYILING TERTUA: Duit syiling bertarikh 1889 dipercayai peninggalan pemerintan keluarga Brooke ditemui di Muara Sungai Miri, Ahad lalu.

Siswandi Othman, 31, ketika ditemui Utusan Borneo menceritakan bahawa dia sedang memancing kira-kira jam 3 petang Ahad lalu sebelum menemui dua bahan lo-gam berkilau di atas batu.

“Pada mulanya saya tidak ambil endah namun setelah dilihat berkali-kali, saya percaya ia adalah logam berbentuk bulat sebesar duit syi-ling lima puluh sen berwarna keemasan dan bertarikh 1889,” katanya.

Siswandi menjelaskan, ketika kejadian, air sedang pasang dan dia tidak menyangka bahawa petang Ahad lalu membawa tuah kepadanya dengan penemuan duit syiling tertera nama C.B Brooke.

Sehubungan itu katanya, beliau meminta pakar sama ada daripada Arkib Negara atau Muzium Sarawak tampil untuk membantu menganalisis ketulenan duit syiling yang dipercayai berusia 121 tahun itu.

Penemuan yang dianggap pelik dan aneh itu bukan sahaja menjadi tanda tanya sebaliknya pada malam selepas penemuan syiling berkenaan dia dikatakan sukar untuk tidur lena.

“Pada sebelah malamnya saya tidak dapat tidur lena kerana sentiasa teringat syiling terbabit, atas alasan itulah saya mahu pihak terbabit menganalisis ketulenan syiling berkenaan,” katanya.

Walaupun ketulenan syiling berkenaan masih menjadi tanda tanya, Siswandi tetap percaya bahawa syiling satu sen itu adalah peninggalan pemerintahan keluarga Brooke berdasarkan kepada tarikh yang terdapat pada syiling itu.

“Saya gembira kerana jika ia disahkan tulen, maka ia boleh dijadikan khazanah Sarawak untuk tatapan generasi akan datang,” katanya sambil menjelaskan ia adalah penemuan penuh misteri.