Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Lembaga orang tua berpakaian putih dikatakan punca kemalangan
Lembaga orang tua berpakaian putih dikatakan punca kemalangan
Posted on December 31, 2010, Friday
KANOWIT: Lembaga menyerupai orang tua berpakaian serba putih yang tiba-tiba menjelma di sebuah selekoh dikatakan menjadi punca kemalangan di Jalan Lukut/Penyulau/ Sibu awal pagi semalam.
“Saya begitu tersentak apabila melihat lembaga putih seakanakan orang tua tiba-tiba muncul di hadapan laluan jalan sehingga menyebabkan saya terpaksa membrek mengejut dan dalam sekelip mata kereta saya terbabas ke bahu jalan,” kata seorang ibu yang sedang dalam perjalanan pulang bersama anak lelakinya ke Bintangor pada jam 6.15 pagi semalam.
Katanya, keadaan hujan renyairenyai ketika itu menyukarkannya untuk mengawal kereta Alzanya dengan baik lebih-lebih lagi di selekoh yang agak tajam sehingga ia terbabas ke bahu jalan dan terlanggar parit konkrit sebelum terbalik di hadapan sebuah deretan kuarters pekerja yang usang di situ.
Bagaimanapun dia dan anak lelakinya, Leo, yang berusia dalam lingkungan 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Wanita (pemandu) yang enggan namanya disiarkan berusia dalam lingkungan 40-an memberitahu bahawa kereta Alza tersebut baru dibeli pada September lalu kini rosak teruk dan remuk di bahagian bumbung, hadapan dan sisinya.
“Apa yang paling menghairankan saya ialah lembaga yang menyerupai orang tua berpakaian putih itu tidak kelihatan lagi selepas keretanya terbalik di situ,” kata pemandu tersebut.
Menurutnya, dia dan anaknya baru sahaja pulang menziarahi saudara mereka di flat guru SMK Kanowit tidak jauh dari tempat kemalangan.
“Kami berdua sedang dalam perjalanan pulang ke Bintangor awal pagi tadi tetapi nampaknya kami terpaksa pergi ke Balai Polis Kanowit untuk membuat laporan polis mengenai insiden ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di lokasi kemalangan. Pihak polis yang dihubungi telah mengerahkan dua anggotany untuk menyiasat punca kemalangan tersebut di lokasi kemalangan.
<< Previous Entry - Next Entry >>



