Chua Ghee Lye ketua polis Melaka yang baru

0

MELAKA: Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Chua Ghee Lye, semalam secara rasmi mengambil alih tugas Ketua Polis Melaka daripada Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Chua, 53, bekas Komander Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), memangku jawatan tersebut sejak 1 Nov lepas, menggantikan Mohd Rodwan yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Bukit Aman.

Majlis Serah Terima Tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (bahagian siasatan dan perundangan) Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Chua berkata beliau akan meneruskan usaha Ketua Polis Melaka sebelum ini bagi mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan sistem penyampaian barisan hadapan pasukan polis untuk mendekati rakyat.

“Ini adalah bonus bagi saya kerana menerima tugas pada hari lahir saya hari ini dan hari cuti umum. Ini adalah perkara yang jarang berlaku,” kata Chua, yang berasal dari Larut Matang, Perak.

Menyertai PDRM pada 1977, beliau berkhidmat selama 29 tahun dalam Unit Udara PDRM iaitu sejak 1982. — Bernama