RM20 juta untuk naik taraf, lebar jalan Kampung Lusut

0

MIRI: Sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk menaik taraf dan melebarkan jalan kampung sepanjang 20 km di Kampung Lusut di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Datuk Aidan Wing berkata projek itu yang dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurut beliau, peruntukan bagi projek menaik taraf dan melebar jalan kampung berkenaan telah diluluskan dan berharap ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

“Apabila siap sepenuhnya nanti, ia akan memberi kemudahan jalan raya yang lebih sempurna dan selesa kepada hampir 2,415 orang penduduk dari tujuh kampung di kawasan berkenaan,” ujar beliau lagi.

Tujuh kampung berkenaan terdiri daripada Kampung Lusut Jaya Zon A dengan Rose Sulan Ganing sebagai Ketua Kampung (KK), Kampung Lusut Jaya 5 (KK Jembu Banga), dua Kampung Mulu (masing-masing di bawah KK Mering Wan dan KK Martin Lisin, Kampung Bidayuh (KK Jimmy Nyahen Bado), Kampung Perpaduan Lusut Jaya (KK Vincent Sujang Ampau),  Kampung Perpaduan Ulu Sungai Dalam (KK Peter Lilin) dan Kampung Bukit Jagus (KK Anyie Ngau Jok).

Aidan memberitahu demikian ketika ditemui Utusan Borneo selepas merasmikan majlis sambutan Hari Krismas di Balai Ruai Rantau Kemiding, Kampung Lusut di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Watson Bangau, Pengerusi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Lusut, Taman Tunku Magdelyn Semunjang Sirit yang juga pengerusi penganjur, KK Martin Lisin dan KK Rose Sulan Ganing.

Dalam pada itu katanya, penduduk di Kampung Lusut kini sudah dapat menarik nafas lega kerana kampung mereka telah dilengkapi dengan bekalan elektrik sejak 22 Disember lalu.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah meluluskan beberapa projek perparitan di kampung berkenaan untuk memastikan penduduk di kawasan itu tidak menghadapi masalah sistem perparitan terutama ketika hujan,” katanya sambil memberitahu terdapat 527 rumah di kampung tersebut.

Aidan turut menarik perhatian dengan memberitahu pelaksanaan beberapa projek berkenaan adalah untuk memastikan Kampung Lusut tidak ketinggalan daripada arus pembangunan apatah lagi kedudukannya yang paling hampir dengan pusat bandar raya Miri.

Terdahulu, beliau amat memuji sikap kerjasama dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ahli jawatankuasa kampung dalam menganjurkan majlis seperti itu.

“Melalui majlis yang diadakan seperti ini, kita dapat menjalin kerjasama yang lebih erat di samping mengeratkan perpaduan dan silaturahim di kalangan sesama penduduk,” katanya.