Site Last Updated 1:17 am, Saturday

Harga bawang melambung

by Agnes Tugong. Posted on January 10, 2011, Monday

Masalah kekurangan bekalan minyak masak semakin menambahkan kebimbangan peniaga, pengguna di Lundu

KENAIKAN MENDADAK: Sebuah pasar raya di pekan Lundu terpaksa menjual bawang kecil pada harga RM13.50 sekilogram berikutan kenaikan mendadak baru-baru ini.

LUNDU: Masalah kekurangan bekalan minyak masak serta kenaikan harga bawang merah secara mendadak semakin membimbangkan di kalangan peniaga dan pengguna di daerah ini.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa kedai runcit, pasar raya dan pasar basah di sekitar pekan ini semalam mendapati stok minyak masak tidak mencukupi manakala bawang kecil dijual pada harga yang amat tinggi.

Peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Ten berkata sepanjang tempoh 20 tahun dia berniaga di pekan ini, inilah pertama kali mereka berhadapan dengan masalah harga bawang yang melambung tinggi.

“Harga bawang merah kecil ini telah naik dari RM6 hingga RM9 sekilogram dan dalam tempoh kurang sebulan harga bawang ini terpaksa dinaikkan lagi kepada RM12 hingga RM13.50 sekilogram mengikut harga pasaran,” ujar beliau.

“Kenaikan ini bukan sahaja membimbangkan kami di kalangan peniaga dan lebih memburukkan ia telah membebankan golongan pengguna terutama penduduk kampung.

“Bagaimanapun kami di pihak peniaga terpaksa mengikut harga pasaran yang sedia ada dan berharap agar masalah ini akan segera selesai sebelum Tahun Baru Cina akan datang,” tambahnya lagi.

Turut berkongsi kegusaran mengenai perkara ini ialah pengusaha sebuah pasar raya yang menjadi tumpuan utama penduduk untuk membeli keperluan harian di pekan ini.

Jelas pengusaha berkenaan, mereka juga terpaksa menjual bawang merah itu pada harga RM13.50 sekilogram berikutan masalah bekalan yang menyebabkan kenaikan mendadak.

Katanya, jika dulu bawang merah ini hanya dijual pada harga RM6 sekilogram kini bebanan harga yang melambung tinggi bukan sahaja terpaksa ditanggung oleh pengguna malah turut menjejaskan kualiti perniagaan mereka.

“Kami juga tidak pasti apakah punca sebenar yang mendorong kepada kenaikan harga bawang kali ini tetapi menurut berita yang diwar-warkan ia disebabkan masalah yang berlaku di India.

“Peniaga di sini bukan sahaja terpaksa menanggung harga yang tinggi pada masa yang sama menanggung kerugian bawang yang tidak dapat dijual akibat kerosakan,” katanya.

Selain kenaikan harga bawang merah ini, peniaga dan pengguna di daerah ini turut menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak meskipun bahan itu tidak mengalami kenaikan harga.

Rata-rata peniaga berkata mereka terpaksa menunggu sebulan untuk mendapatkan stok minyak masak yang ditempah untuk dijual dan jika ada pun jumlah tempahan yang dihantar akan dikurangkan.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.