Pilihan raya negeri

0

KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Datuk Yong Khoon Seng membayangkan pilihan raya negeri akan datang berkemungkinan diadakan menjelang penghujung Mac.

hujung Mac?

“Perdana Menteri telah mengarahkan kita (Ahli Parlimen) supaya turun padang sehingga ke peringkat akar umbi dan memberikan lebih perhatian kepada rakyat.

“Maka itu, saya merasakan pilihan raya negeri mungkin diadakan pada penghujung Mac,” katanya yang ditemui sempena jualan kebajikan Fa Yuan Vihara, di premisnya di Batu 5, semalam.

Yong, merupakan antara Ahli-Ahli Parlimen Sarawak yang telah berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas, di mana pertemuan satu per satu selama lima minit itu memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat berkenaan menyuarakan permasalahan di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata meskipun Najib tidak mengatakan lanjut mengenai pilihan raya, beliau percaya ia akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Berdasarkan reaksi wajah, percakapan dan bagaimana jawapan soalan yang dikemukakan, mungkin pilihan raya semakin dekat,” kata Yong.

Ditanya mengenai kawasan yang dibawa Yong untuk perhatian Najib, Yong berkata ia lebih kepada pembangunan infrastruktur, menaik taraf jalan kampung dan jambatan, serta masalah bekalan air bersih di beberapa kawasan.

Katanya, semua perkara yang beliau kemukakan kepada Najib adalah memberikan impak besar kepada rakyat.

“Bagi jejambat Jalan Song, tender dibuka pada 27 November dan ditutup pada 23 Disember 2010.

“Kini, tender-tender yang diterima sedang dinilai untuk pelantikan,” katanya.

Hadir sama ialah pengerusi penganjur Lai Jing Yu dan mengerusi majlis Lee King Ang.