Keceriaan di Sungai Asap

0

Kerajaan akan batal RM41 juta hutang tertunggak 15 rumah panjang: Najib

HASIL SENI: Najib dan Taib menerima cenderamata berupa terendak seni buatan tangan Orang Ulu daripada Temenggung Nyipa Bato (kanan), semalam.

SUNGAI ASAP, Belaga: Keraja-an persekutuan akan membatalkan baki RM41 juta bagi pembayaran tertunggak untuk 15 rumah panjang di Skim Penempatan Semula Sungai Asap.

Pengumuman tersebut sekali gus memberikan 1,500 keluarga yang menduduki 15 rumah panjang terbabit mendapatkannya secara percuma daripada kerajaan tanpa perlu membuat apa-apa bayaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan melihat pembatalan itu bertepatan memandangkan penduduk terbabit mempunyai asas kukuh untuk mendapatkannya.

“Mereka dipindahkan (dari petempatan lama di Bakun) atas kehendak kita. Mereka tiada pendapatan, manakala aktiviti mereka tergendala,” katanya berucap pada  Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Uma Belor, 101 pintu di Sungai Asap Belaga semalam.

Najib menjawab permohonan berkaitan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo pada majlis itu.

Justeru katanya, kerajaan cuba mencari jalan untuk mengatasi masalah penduduk di 15 rumah panjang itu dengan membatalkan pembayaran RM41 juta itu.­

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencari kaedah melalui Sarawak Hidro Bakun kerana ke-adaan yang dihadapi oleh penduduk di sini adalah luar biasa.

Jelasnya, kerajaan berharap dapat memberi kelonggaran kepada penduduk ini (melalui pembatalan bayaran itu) sebagai satu kaedah penyelesaian.

Beliau berkata, kerajaan juga meluluskan sebanyak RM62 juta untuk pelaksanaan projek pembinaaan Jalan Belaga-Bakun di bawah konsep Jiwa Murni.

“Menteri Pertahanan yang di- terajui oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan akan melaksanakan projek itu sedikit masa lagi,”jelasnya.

Katanya, ini merupakan kaedah terbaik untuk menjimatkan kos berbanding kaedah biasa yang kosnya lima kali ganda sehingga mencecah RM350 juta.

“Saya percaya pihak tentera akan melaksanakan projek ini yang sekali gus akan membawa banyak manfaat kepada penduduk di Sungai Asap Belaga ini,” katanya.

Di samping itu, Perdana Menteri turut meluluskan projek bekalan elektrik di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjumlah RM22 juta di Sungai Asap Belaga dan projek itu juga akan dilaksanakan.

Sementara itu, katanya, zon pertanian di kawasan Sungai Asap juga perlu diperluaskan dan saya menyokong usaha untuk mencari jalan melalui rundingan dengan kerajaan Sarawak bagi memperluaskan kawasan pertanian itu.

Katanya, kawasan pertanian itu akan diperluas daripada keluasan tiga ekar yang sedia ada dalam      usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk agar dapat melepasi garis kemiskinan.

“Kerajaan persekutuan dan ne-geri akan membantu penduduk dalam usaha ini,” tambahnya.

Selain itu, katanya, sumbangan tambahan daripada kerajaan persekutuan untuk Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) Sarawak juga diberi iaitu berjumlah RM1.14 juta untuk melatih 3,300 belia Iban, Orang Ulu untuk tempoh lima tahun yang memberi peluang kepada masyarakat peribumi ini meningkatkan kemahiran, mendapat pekerjaan tetap sekali gus untuk memperolehi pendapatan yang lebih baik.

Manakala masyarakat Penan pula katanya, melalui 1Malaysia Deve-lopment Bhd (1MDB) akan melaksanakan pembinaan rumah per-singgahan atau rumah arau untuk Penan bagi sembilan sekolah di da-erah Belaga yang keseluruhannya berjumlah RM900,000.

Katanya, melalui 1MDB juga banyak kelonggaran untuk membantu agar murid-murid mendapat keputusan cemerlang dalam pendidikan sehingga ke peringkat tinggi dengan 114 murid sekolah rendah setiap seorangnya menerima RM450 dan 36 pelajar sekolah menengah pula setiap  seorang menerima RM600 di  Sungai Asap ini.

Selain itu peruntukan tambahan oleh kerajaan persekutuan untuk Tabung Amanah Bakun juga diberi iaitu berjumlah RM5 juta.

Berkaitan kad pengenalan pula katanya, dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Keselamatan Negara akan turun padang bagi mendaftar penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri tersebut.

Beliau berkata, meskipun banyak peruntukan dan pembangunan namun masih terdapat kelompok yang perlu dibantu khususnya supaya kaum-kaum tertentu di negara ini tidak terpinggir dan tercicir daripada pembangunan negara.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, menteri-menteri persekutuan dan negeri turut hadir pada majlis itu.