Keengganan PRS kekal Sng pertahan Pelagus tiada sebab peribadi: Masing

0

KUCHING:  Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing sema-lam menyifatkan keengganan parti untuk mengekalkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng  untuk mempertahankan Pelagus sebagai tiada sebab peribadi.

Menteri Kemajuan Tanah itu menegaskan, keputusan untuk mendapatkan calon baru untuk Pelagus adalah semata-mata demi kepentingan Barisan Nasional (BN).

“Kami akan meletakkan calon baru di sana kerana kami mahu memastikan kami mampu mempertahankan kerusi (Pelagus) untuk BN dan saya yakin kami mampu… asalkan tidak ada sabotaj (daripada parti komponen lain),” kata-nya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan PRS bersifat peribadi dan tidak meletakkan kepentingan BN apabila parti itu menutup pintu sepenuh-nya kepada Sng sejak disingkirkan daripada PRS pada 2007.

“Tidak, kami tidak akan mengorbankan mana-mana kerusi kami dan saya tidak akan memberi peluang kepada sesiapa yang akan menjejaskan saya.

“Saya tidak akan berbuat demikian,” tambahnya.

Masing yang ditemui pemberita di lobi Wisma Bapa Malaysia selepas menghadiri mesyuarat kabinet, mengulangi semula, tidak kisah ke mana Sng pergi asalkan parti lain bersedia mengambilnya.

Beliau berkata selain Pelagus, PRS yakin menang di kesemua kerusinya termasuk Ngemah yang kini diwakili oleh pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM) Negeri Gabriel Adit Demong.

Adit yang bertanding pada pilihan raya negeri 2006 dengan tiket bebas menewaskan Alexander Vincent dan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Richard Lias.

Kekalahan itu, menurut PRS berikutan sabotaj oleh beberapa ahli parti komponen BN dan Masing memberi amaran beliau enggan perkara serupa berulang lagi pada pilihan raya akan datang.