44 kes H1N1 dalam 28 hari

0

KUCHING: Sebanyak 44 kes disahkan Influenza A (H1N1) dilaporkan di Sarawak sepanjang tempoh 28 hari pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Georeg Chan berkata, kes itu dilaporkan berlaku dari 1 hingga 28 Januari ini.

Dr Chan dalam kenyataan berhubung perkara itu berkata, jumlah kes itu menunjukkan peningkatan dan penyakit serupa Influenza (ILI) turut meningkat.

“Memandangkan peningkatan H1N1 dan ILI maka orang ramai harus berhati-hati semasa perayaan Tahun Baru Cina ini untuk mengelak jangkitan” katanya.

Dr Chan yang juga pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri berkata, orang ramai harus menjarakkan diri antara satu sama lain sekiranya mereka menghidap selesema.

Langkah lain yang perlu dilakukan ialah dengan menutup mulut apabila bersin dan amalkan mencuci tangan.

“Bawa bersama peralatan H1NI seperti penutup mulut, pencuci tangan jika berjalan ke kompleks beli-belah, dalam pengangkutan awam atau melawat saudara mara dan rakan-rakan.

“Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda selesema terutamanya yang berisiko tinggi harus pergi ke klinik berdekatan dengan segera,” katanya sambil mendoakan keselamatan orang ramai pada sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

Dalam perkembangan lain, Dr Chan berkata Jabatan Kesihatan terus memantau perkembangan kes ILI di kesemua 23 klinik di seluruh negeri walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan dunia bebas daripada H1N1.

Mereka yang berisiko tinggi dijangkiti H1N1 termasuk ibu mengandung, golongan terlebih berat badan (obes), kanak-kanak di bawah lima tahun dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Orang ramai juga dinasihati supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan hanya makan di kedai yang mengamalkan kebersihan.