Bakong, Tinjar masih ditenggelami air

0

MIRI: Beberapa kediaman di kawasan rendah di sepanjang sungai Bakong dan Tinjar masih terputus hubungan disebabkan banjir yang belum surut sejak tiga minggu lalu.

BELUM SURUT: Banjir di Rumah Turan yang dirakam dari helikopter.

Antara kediaman yang terjejas ialah rumah panjang (Rumah) Turan dan Rumah Ree di Sungai Buri Bakong, melibatkan seramai 700 penduduk.

Jalan masuk ke kedua kediaman itu telah ditenggelami air setinggi dua hingga enam kaki akibat limpahan banjir dari sungai Bakong.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) yang juga ADUN Marudi Sylvester Entrie Muran bersama wakil penduduk terpaksa menggunakan bot untuk melawat mangsa.

Menurut Tuai Rumah Turan Umpang, jalan masuk ke SK Sungai Buri juga tenggelam akibat banjir kesan musim tengkujuh sekarang.

“Paras air semakin naik malam kelmarin. Air masih dibawah lantai rumah panjang kami yang dianggarkan setinggi enam kaki. Walaupun tidak serius seperti tahun 2009, ia masih membimbangkan khasnya kepada kanak-kanak,” jelasnya.

Beliau berkata, bekalan makanan telah diterima oleh mangsa-mangsa banjir dari Jabatan Kebajikan pada hari Khamis lalu

Tinjauan menggunakan helikopter mendapati banjir masih berlaku di kawasan rendah di Beluru hingga Lapok, termasuk laluan ke Marudi dan ladang kelapa sawit berhampiran.

Bilik Gerakan Bahagian Miri yang dihubungi memberitahu, pusat pemindahan iaitu Dewan Masyarakat Beluru masih beroperasi yang menempatkan 176 mangsa dari 39 keluarga dari kampung Setinggan dan Kampung Melayu Beluru Bakong.

Lapan keluarga dari kampung Setinggan Beluru juga telah dipindahkan dari kediaman mereka sejak hari Khamis lalu. Mangsa juga telah menerima bantuan makanan.

Bilik Operasi Beluru boleh dihubungi di talian  085- 744253 dan Bilik Operasi Miri di talian  416625 atau 416636.