Peta pelancongan dan buku panduan pelawat Sibu diberi secara terkawal

0

SIBU: Peta pelancongan bandar Sibu serta buku panduan pelawat Sibu dan kawasan tengah akan diberikan secara terkawal bagi mengelakkan sebarang salah guna ataupun pembaziran oleh pihak tertentu.

BOLEH DIPEROLEHI: Rudy menunjukkan peta dan buku panduan pelawat bandar Sibu dan kawasan tengah yang boleh diperolehi di VIC Sibu dan di Lapangan Terbang Sibu.

Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sibu Rudy Anoi berkata, mereka yang memerlukan peta ataupun buku panduan tersebut dalam jumlah yang banyak perlu menulis surat kepada STB.

“Sebagai contoh, pertubuhan bukan kerajaan yang memerlukan buku panduan atau peta ini secara banyak boleh menulis surat kepada kami,” ujarnya kepada pemberita semalam ketika diminta memberi komen lanjut berhubung peta dan buku panduan pelawat terbabit.

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datuk Rashid Khan dipetik berkata, peta dan buku panduan pelawat untuk Sibu dan kawasan tengah kini boleh didapati di Pusat Maklumat Pelawat (VIC) Sibu dan di Lapangan Terbang Sibu.

Rashid berkata demikian bagi menjawab pelbagai komen daripada pihak tertentu yang disiarkan dalam akhbar, yang mendakwa peta dan buku panduan pelawat tersebut sukar diperolehi.

Menurut Rudy, peta dan buku panduan tersebut yang diberikan secara percuma, juga telah diedarkan kepada ejen pelancongan dan hotel-hotel di sekitar bandar ini.

“Jika ejen pelancongan atau pihak hotel telah kehabisan stok mereka boleh minta semula di pejabat kami,” katanya sambil menambah peta dan buku panduan yang dicetak semula itu telah diedarkan mulai Januari lepas.

Cetakan semula daripada yang terdahulu, buku panduan pelawat ini mempunyai sedikit penambahan maklumat seperti lokasi hotel baru, nombor telefon ejen pelancongan, jadual perjalanan bot ekspres, tempat makan serta tempat menarik baru yang terdapat di bandar ini.

Bagi peta bandar Sibu pula, ia masih sama seperti cetakan terdahulu cuma mempunyai sedikit penambahan berkaitan lokasi hotel, tempat makan, pusat beli-belah dan sebagainya.

Mereka yang memerlukan peta dan buku panduan ini, boleh berhubung dengan Pusat Maklumat Pelawat STB Sibu di No.32, Jalan Tukang Besi atau menghubungi talian 084-340980 dan faks 084-341280.