Surau Darul Islam berwajah baru pada tahun 2012: Daud

0

SIBU: Surau Darul Islam di Jalan Kampung Bandong akan berubah wajah apabila projek membina surau yang baru dengan menelan kos RM1 juta, siap pada awal 2012.

SERAH PROJEK: Osman (empat kiri) menyerahkan dokumen tapak projek kepada Sebali (kanan) sambil disaksikan oleh Daud (tiga kanan). Turut kelihatan ialah Abu Seman (dua kanan), Awang Bemee (empat kanan), Marzuki (dua kiri) serta yang lain.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kerja-kerja pembinaan bermula semalam dan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan.

“Pembinaan surau baru ini akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta mampu menampung sehingga lebih 600 jemaah,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Surau Darul Islam di Jalan Kampung Bandong di sini, semalam.

Tapak projek berkenaan diserahkan kepada Pengarah Urusan Sepawi Enterprise (M) Sdn Bhd Sebali Chik yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pegawai Zon Tengah Pejabat Agama Islam Bahagian Sibu Osman Ibrahim.

Katanya, pembinaan surau baru itu merangkumi bilik kuliah, tempat berwuduk lelaki dan wanita, pagar, sistem bunyi dan permaidani.

Surau Darul Islam dibina pada 1973 dan hanya mampu menampung sekitar 220 jemaah.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie dan Pengerusi Jawatankuasa Surau Darul Islam Radin Marzuki Radin Mahmud.

Daud yang juga pengerusi Tabung Baitulmal Sarawak berkata, majlis pecah tanah Kompleks Islam Sarawak Sibu di Jalan Awang Ramli Amit akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 18 Februari depan, jam 10 pagi.

Kompleks Islam Sarawak Sibu yang dibina dengan kos RM46 juta di atas tanah seluas tujuh ekar, akan melibatkan pembinaan bangunan pejabat setinggi sembilan tingkat serta dewan bagi menganjurkan majlis yang mampu memuatkan antara 700 hingga 800 orang pada sesuatu masa.

Pembinaan kompleks ini yang dilakukan oleh APPL Engineering Services Sdn Bhd mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

Apabila siap nanti, kompleks berkenaankan menjadi satu lagi mercu tanda di bandar Sibu.