Hapuskan pemikiran negatif

0

Budaya politik pembangkang boleh gugat kerjasama dan kestabilan: KM

KENANGAN MANIS: Taib girang melihat potret lama yang diabadikan kepada beliau pada Program Sejiwa Senada di Lawas, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) ialah Henry, Jabu, Ragad, Hasbi, Morshidi dan Awang Tengah.

LAWAS: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu rakyat di negeri ini menolak budaya politik pembangkang yang suka merepek dan memperbesarkan isu-isu remeh.

Beliau berkata, Sarawak akan rosak sekiranya pemikiran negatif pembangkang menular di kalangan rakyat.

Katanya, pembangkang gemar mengajar orang untuk bergaduh, dengki, mencaci, bersikap malas, gemar bercakap tetapi tidak bekerja sehingga boleh menggugat kestabilan dan keharmonian yang dikecapi rakyat.

“Rakyat seharusnya sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan dan menghapuskan pemikiran negatif yang boleh menggugat kerjasama dan kestabilan.

“Jika sikap berkenaan dikikis, dasar pembangunan merangkumi pendidikan dan pekerjaan yang dibawa kerajaan akan membawa manfaat kepada rakyat demi mencapai kehidupan lebih sempurna,” ujarnya pada Program Sejiwa Senada di sini, semalam.

Hadir sama ialah isteri Taib, Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Morshidi Ghani, menterimenteri muda dan kenamaan lain.

Taib berkata, kerajaan sentiasa fokus untuk memperkenalkan dasar-dasar pembangunan bermula dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi.

“Kita mahu melahirkan pekerja tempatan yang mempunyai gaji tinggi dan boleh bersaing dengan negara lain,” ujar beliau.

“Bagi mencapai hasrat itu negara perlu mempunyai kestabilan dan mengangkat matlamat negara untuk melahirkan lebih ramai anak-anak yang berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga pekerjaan.

“Kita mesti mengangkat tujuan kita untuk melahirkan rakyat yang pandai dengan 25 hingga 27 peratus anak-anak mempunyai kemahiran dan ijazah serta menberpendapadapat gaji tinggi dalam bidang pekerjaan.

“Justeru, berilah galakan kepada anak-anak untuk menjadi lebih pandai dan mengubah pemikiran negatif. Ia termasuk meningkatkan keupayaan dan kerjasama dengan pelbagai masyarakat yang berlainan agama dan keturunan.”

Sementara itu, Taib menjelaskan konsep 1Malaysia telah berjaya menyatupadukan rakyat terutama masyarakat di negeri ini yang sudah lama hidup penuh harmoni dan stabil.

Pada masa sama, jelasnya, perubahan yang berlaku hari ini tidak dapat dicapai tanpa perancangan teliti dan kerjasama jitu di antara kerajaan negeri dan pusat.