188 pemilik tanah projek jalan Baram terima RM1.86 juta

0

MIRI: Seramai 188 pemilik tanah di daerah kecil Bakong di Baram semalam, menerima pampasan berjumlah RM1.86 juta daripada kerajaan negeri selepas tanah mereka diambil untuk projek pembinaan jalan.

PAMPASAN: Sylvester Entri (duduk, enam kiri) bersama para penerima.

Pampasan itu diserah kepada mereka oleh Pembantu Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Sylvester Entri Muran, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri pada satu majlis di Dewan Komuniti Beluru di Bakong, kira-kira 92 kilometer dari sini.

Pegawai tanah dan penilai Bahagian Miri Rozlan Putit berkata pampasan itu adalah untuk pengambilan kira-kira 49.9 hektar tanah bagi pembinaan jalan antara empangan hidroelektrik Baram dan Jalan Miri-Bintulu, sejauh 65.7 kilometer.

“Setiap pemilik tanah menerima pampasan antara RM1,000 dan RM30,000, bergantung kepada keluasan tanah yang diambil,” katanya.

Sementara itu, Sylvester berkata pembayaran pampasan itu adalah bukti dasar kerajaan yang sentiasa memastikan rakyat tidak mengalami kerugian, sebaliknya memperoleh keuntungan daripada program pembangunan kerajaan.

Apabila kerajaan mengambil tanah, ia sentiasa untuk tujuan pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat untuk tempoh jangka panjang terutama bagi meningkatkan taraf hidup mereka, katanya. — Bernama