Pasukan Borneo Post mulakan ekspedisi ke seluruh negeri

0

KUCHING: The Borneo Post Adventure Team (BAT) memulakan ekspedisi ke seluruh negeri semalam dengan  penuh keseronokan dan harapan yang tinggi untuk berdepan dengan cabaran yang bakal dihadapi.

Ekspedisi selama 22 hari itu  disertai oleh wartawan The Borneo Post, Peter Sibon, Wilfred Pilo, penulis rencana Joanna Yap dan jurugambar Chimon Upon dan akan melalui setiap kawasan, bandar dan daerah di seluruh negeri ini.

Pengurus Besar Operasi The Borneo Post Phylis Wong telah menyempurnakan Majlis pelepasan BAT yang akan bergerak ke Sri Aman sebagai destinasi pertama mereka di pejabat The Borneo Post yang terletak di Crown Tower, Jalan Pending di sini, semalam.

Ekspedisi tersebut akan menyaksikan pengembaraan BAT ke tempat seperti Kapit, Mukah, Limbang dan Lawas.

“Objektif utama ekspedisi ini adalah untuk mendapatkan dan menghayati keistimewaan pekan-pekan kecil di negeri ini bagi menambahkan lagi penge-tahuan kepada pembaca selain untuk terus memastikan The Borneo Post terus kekal sebagai surat akhbar bahasa Inggeris yang terkenal dan terlaris di negeri ini.

“Selain itu kami juga akan menumpukan perhatian kepada kawasan dan daerah yang jarang menerima liputan pemberita,” kata Peter yang juga ketua ekspedisi tersebut.

Menurut Peter, BAT juga akan membuat liputan kawasan industri berat seperti Samalaju, Bintulu dan banyak lagi.

Menurut Wilfred Pilo pula tujuan ekspedisi tersebut juga adalah untuk melihat dengan lebih dekat mengenai perkembangan  ekonomi, sosial dan politik di semua bandar kecil dan daerah di sepanjang perjalanan tersebut.

“Kami akan menulis apa sahaja yang belum pernah ditulis dalam mana-mana artikel sebelum ini seperti Sg Tengang, Pusa, Kabong, Roban, Bekenu, Sibuti dan Kuala Lawas,” katanya

Dari Sri Aman, pasukan BAT akan menuju ke Betong, Sarikei (Feb 25), Sibu (27 Feb), Kapit (1 Mac), Mukah (3 Mac), Miri (5 Mac), Limbang (7 Mac), Lawas (9 Mac) dan Bintulu (11 Mac) dan jadual akan diubah jika perlu. Isuzu menyediakan trak D-MAX untuk pasukan ekspedisi tersebut.