Mayat mangsa perahu karam berjaya ditemui

0

SRI AMAN: Pasukan gerakan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat wanita sarat mengandung yang mati lemas dalam tragedi perahu karam akibat dipukul ombak benak ketika air pasang di kawasan Sekadang, Sungai Batang Lupar, pada tengah hari semalam.

MEMILUKAN: Mayat mendiang Sebit yang mati lemas selepas perahu keluarganya karam di Batang Lupar awal pagi kelmarin, tiba di Hospital Sri Aman untuk bedah siasat.

Mayat Sebit anak Bungin, 22, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 12.30 tengah hari kira-kira 500 meter dari tempat keja-dian.

Mayat mendiang kemudiannya dihantar ke Hospital Sri Aman di sini untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, yang berlaku pada jam 2 pagi, Isnin lalu, mendiang Sebit yang sarat mengandung, sedang dalam perjalanan ke Klinik Lingga menggunakan perahu panjang, selepas mengadu sakit mahu bersalin.

Dalam perjalanan, perahu yang dinaiki oleh mangsa bersama lima lagi ahli keluarganya bagaimanapun terbalik lalu karam selepas dipukul oleh ombak benak yang berlaku akibat air pasang di Batang Lupar, awal pagi itu.

Lima penumpang yang lain iaitu suami mangsa Nelson Jampi, bapa dan ibu mentuanya serta anak perempuanya yang berusia dua tahun dan anak saudara lelakinya, 5, berjaya terselamat dalam kejadian itu selepas berpaut pada perahu mereka. Manakala mendiang tidak kelihatan dan terus hilang.

Ketika itu mereka berjaya memusingkan semula perahu itu dan berkayuh semula ke rumah panjang berdekatan untuk mendapat bantuan dan operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dilancarkan pagi kelamrin selepas suami mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.