Site Last Updated 3:59 am, Friday

Pesara tentera boleh jalani latihan di Kuching

by Sandy Mark Luna. Posted on February 23, 2011, Wednesday

PERHEBAT tubuh Kampus Wilayah Sabah dan Sarawak untuk tampung keperluan 4,000 anggota ATM bersara setiap tahun 

KUCHING: Bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini tidak lagi perlu mengikuti Kursus Latihan Peralihan di Semenanjung Malaysia berikutan penubuhan kampus sementara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) Wilayah Sabah dan Sarawak, di sini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, penubuhan kampus sementara itu sekali gus membantu menampung jumlah pelatih memandang-kan secara purata setiap tahun, lebih kurang 4,000 anggota ATM yang menamatkan perkhidmatan mereka.

Tambahnya, kampus induk PERHEBAT di Sungai Buloh, Selangor hanya dapat menampung sehingga 1,200 orang sahaja pada setiap pengambilan.

“Di samping tempat yang terhad di kampus induk PERHEBAT, kedudukannya yang jauh juga tidak menarik kepada anggota ATM dari Sarawak untuk memohon mengikuti kursus tersebut yang selama enam hingga 18 bulan.

“Oleh itu, Kementerian Pertahanan merestui hasrat PERHEBAT untuk menu-buhkan Kampus Wilayah Sarawak dan Sabah bagi membolehkan lebih ramai anggota ATM dari negeri ini yang akan menamatkan perkhidmatan, dapat mengikuti latihan per-alihan secara lebih berstruktur dengan persijilan yang diiktiraf,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persetujuan (MoA) pelantikan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) sebagai pusat bertauliah PERHEBAT, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif PPKS Baharudin Abdullah.

Latiff berkata, PERHEBAT juga akan mengadakan perjanjian persefahaman dengan institusi-institusi milik kerajaan negeri dan swasta agar lebih banyak pilihan bidang kursus dapat diikuti oleh bakal persara ATM.

Menurutnya, kerajaan sedar ia bukan sesuatu yang mudah bagi pesara melangkah ke dunia awam dan bersaing untuk memulakan kerjaya baru.

“Kerajaan berharap anggota ATM dari negeri ini akan menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan dalam memastikan latihan peralihan yang diikuti kelak dapat membuah hasil dalam membentuk tahap sosio ekonomi yang lebih terjamin selepas menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Sementara, Pengerusi PERHEBAT Laksamana Tan Sri Dato Seri Ilyas Din berkata, PERHEBAT akan mula menyewa bangunan PPKS pada pertengahan tahun ini setelah kerja-kerja ubahsuai siap dilakukan dan akan mula melaksanakan dua jenis kursus di premis tersebut kepadap pelatih pengambilan Julai 2011.

“PERHEBAT juga berhasrat untuk ‘menumpang’ di PPKS untuk tempoh tiga tahun dan seterusnya berhasrat untuk mempunyai kampus tetap, diharapkan kerajaan negeri mempertimbangkan permohonan bagi mendapatkan tapak kampus tetap PERHEBAT,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, ramai bakal pesara ATM yang berhasrat untuk menetap di Sarawak selepas menamatkan perkhidmatan kelak.

Bagi memberi peluang kepada bakal pesara tersebut untuk mengikuti Latihan Peralihan, kampus PERHEBAT Wilayah Sabah dan Sarawak juga akan mengadakan kerjasama dengan penyedia latihan di negeri ini seperti Harina Consultancy, Kolej SATT, Akademi Binaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Latihan Pembangunan Belia (PLPB).

Beliau memaklumkan peng-ambilan pertama pelatih dilakukan pada sesi Januari 2011 yang lepas di mana seramai 98 bakal pesara mendaftar dan sedang mengikuti kursus dalam pelbagai bidang di lima buah institusi latihan di sekitar Kuching dengan tajaan PERHEBAT.

“Harapan kami, anggota ATM dari kalangan anak ne-geri ini akan dapat mengikuti latihan peralihan di Sarawak dan seterusnya memudahkan proses peralihan ke dunia awam di kampung halaman sendiri,” katanya.

Manakala pada sidang media selepas majlis tersebut, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah yang mengulas mengenai permohonan tapak kampus PERHEBAT berkata: “Kita (kerajaan) akan meneliti kertas cadangan mereka dan saya yakin pihak PERHEBAT akan mempertimbangkan yang mana sesuai untuk mendapatkan kampus sendiri atau kekal dengan keadaan sekarang, iaitu menyewa.

“Kedua-dua ada baik buruknya sendiri tetapi bergantung kepada keadaan dan kemampuan PERHEBAT sendiri,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.