Usaha kesan rakyat M’sia di Christchurch diteruskanBelum ada berita diterima mengenai wanita dari S’wak itu

0

KUALA LUMPUR: Usaha mengesan seorang rakyat Malaysia yang dilapor hilang di Christchurch ketika kejadian gempa bumi Selasa lepas masih diteruskan, kata pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.

Nur Ayuni Zainal Abidin berkata setakat ini pihak suruhanjaya tidak menerima sebarang berita mengenai wanita berumur 30-an yang berasal dari Sarawak itu.

“Belum ada apa-apa maklumat lagi…kita terus berhubung dengan pihak berkuasa New Zealand bagi mengetahui apa-apa perkembangan mengenai wanita ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di bilik operasi Malaysia di Christchurch, semalam.

Katanya Pasukan Pertahanan Awam New Zealand mengetuai usaha mencari dan menyelamat mereka yang masih terperangkap dan hilang dalam malapetaka itu.

Nur Ayuni berkata berdasarkan maklumat kawan wanita itu, dia sepatutnya ke tempat kerjanya di sebuah kolej swasta di bandar berkenaan, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenar wanita tersebut ketika kejadian gempa berlaku.

Nur Ayuni juga berkata setakat ini belum ada anggota keluarga wanita tersebut datang ke Christchurch.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang sudah berada di New Zealand atau yang ingin melawat negara itu agar mendaftarkan butiran mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana.

Nur Ayuni berkata pihaknya kini meneruskan usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat gempa bumi itu.

Terdapat 636 rakyat Malaysia di Christchurch, termasuk 390 penuntut.

Angka kematian dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 Selasa lepas meningkat kepada 113 orang dengan lebih 200 orang dilapor hilang.

Gempa itu yang paling teruk melanda New Zealand sejak gegaran bermagnitud 7.8 yang mengorbankan 256 orang di wilayah Hawke’s Bay pada 1931.

Gegaran pada September tahun lepas bermagnitud 7.1 pula memusnahkan 100,000 rumah tetapi tiada yang terkorban. — Bernama