Usaha lebih gigih dalam pertanian

0

K’jaan sedia pelbagai bantuan untuk masyarakat tingkat hidup: Nyarok

UKUR TANAH: Nyarok melakukan simbolik perasmian bagi Pelancaran Kerja Ukur bagi Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera di kawasan Krian, Saratok semalam.

SARATOK: Masyarakat luar bandar yang terlibat dalam bidang pertanian harus berusaha lebih gigih untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian Datuk Peter Nyarok Entri berkata, kerajaan melalui agensi-agensi tertentu seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedia membantu masyarakat tani dalam membangunkan diri.

“Kerajaan berhasrat untuk menjadikan bahagian (Betong) kita ini sebagai salah satu kawasan agropolitan menjelang tahun 2020 sebagai langkah untuk membasmi masalah miskin tegar.

“Dengan matlamat tersebut, kerajaan telah mewujudkan pelbagai peluang dan membantu masyarakat untuk membangun.

“Justeru, kita harus menjadikan diri sebagai warga yang peka serta bersaing dalam cara yang sihat untuk merebut peluang yang tersedia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sesi Taklimat dan Pelancaran Kerja Ukur bagi Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Rumah Chunggat Talit, Munggu Ubah Lempa, Krian Saratok, semalam.

Menurut Nyarok, terdapat tiga buah kawasan yang telah siap disukat perimeternya dan diwartakan di bahagian Betong yang termasuk dalam Pelan Kerja Ukur bagi Inisiatif Baru Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) pada tahun 2010.

Kawasan pertama meliputi Entebu, Selambong dan Bajau, kawasan kedua merangkumi Ensuri dan Serudit, manakala kawasan ketiga ialah Tanjung Sebekut, jelasnya.

Nyarok berkata, pada tahun ini kerajaan menambah peruntukan untuk menyukat tanah NCR di Sarawak sebanyak RM60 juta daripada RM20 juta pada tahun lepas.

“Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah berniat untuk mengambil tanah milik rakyat seperti yang dicanang oleh pihak pembangkang sebagai isu utama mereka menjelang pilihan raya.

“Dan, jika kita melihat dari semua sudut langkah-langkah yang diambil kerajaan pada masa kini, sudah jelas menggambarkan bahawa ia adalah untuk kebaikan rakyat.

“Semua ini dijalankan untuk menyelesaikan masalah mengenai isu tanah di negeri ini serta bagi mewujudkan satu sistem yang mudah difahami dan memberi manfaat kepada rakyat.”

Oleh yang demikian, katanya, sokongan dan kerjasama masyarakat amat penting terutama dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang kerajaan berjalan lancar.

“Kita harap apa jua masalah mengenai isu tanah dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan teratur. Kita tidak mahu masyarakat, jika ada masalah, terus merujuk perkara tersebut kepada pihak pembangkang.

“Kita sedia maklum bahawa mereka (pembangkang) tidak pernah memberikan idea positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah… apa yang mereka tahu hanyalah mencari kesalahan dan kekurangan orang lain tetapi tidak tahu cara menyelesaikannya,” kata Nyarok.

Sebaliknya, ujar beliau, masyarakat yang mempunyai masalah dalam isu tanah harus berjumpa dengan mana-mana jabatan atau badan kerajaan yang berkaitan untuk memberi khidmat masihat serta bantuan berhubung cara-cara penyelesaiannya.

Pada majlis sama, Pegawai Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Peggy Ronin Edin berkata Jabatan Tanah dan Survei menjalankan kerja-kerja penyukatan tanah NCR untuk menyediakan satu jaminan bertulis kepada pemilik bahawa tanah tersebut adalah sah milik mereka.

“Bagi kawasan Betong, pendekatan yang diguna pakai dan dipersetujui oleh semua pihak untuk kita jalankan kerja penyukatan perimeter ialah berdasarkan corak sesuatu kawasan mengikut pentadbiran kuasa seorang penghulu.

“Kita harap apabila kerja penyukatan ini dijalankan nanti, tidak akan wujud sebarang masalah dan jika ada, kita mohon agar ia diselesaikan secepat mungkin agar kerja tidak tergendala dan berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” kata Peggy.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Residen Bahagian Betong Romi Sigan, Pegawai DaerahSaratok Julahi Kadir, Penghulu Kadam yang mewakili kawasan Batang Budu, Krian Ulu dan Babang, Penghulu Latan selaku wakil Batang Kabo, Penghulu Ali bagi kawasan Awik, Penghulu George Manggie untuk kawasan Seblak Ulu serta kira-kira 150 orang penduduk setempat.