Taib mahu sekolah berprestasi tinggi dunia bertapak di Sarawak

0

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu lebih banyak sekolah berprestasi tinggi di seluruh dunia bertapak di negeri ini dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar berkualiti tinggi.

Menurut beliau, pendidikan berkualiti tinggi akan memboleh negeri ini melahirkan lebih ramai pelajar yang memiliki pencapaian yang tinggi dalam akademik sekali gus dapat meneruskan transformasi dan pembangunan di negara ini.

“Seperti negara Singapura, Malaysia juga cuba menarik lebih banyak sekolah terbaik yang ada di dunia ini untuk bertapak di negara ini agar kita tidak perlu lagi menghantar anak-anak kita bersekolah ke tempat seperti England, Australia, Kanada dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Barisan Nasio-nal (BN) Sarawak 2011 di sini semalam.

Taib menegaskan, mewujudkan industri pendidikan yang berkualiti tinggi di negeri ini merupakan langkah terbaik untuk melahirkan rakyat Malaysia yang setanding dengan orang ternama di dunia dan ini akan memakmurkan lagi ne-gara kita.

“Jika anda rasa dengan menggabungkan semua orang yang bijak dengan kurang bijak akan membolehkan anda untuk mencapai prestasi yang tinggi dalam akademik bagi semua pelajar, anda adalah silap.

“Malangnya itu adalah hakikat kehidupan kita, sebab itulah ramai ibu bapa yang berkemampuan akan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sekolah seperti Lodge School, Sekolah Putra dan banyak lagi,” katanya.

Taib yang juga pengerusi BN Negeri dalam ucapannya turut menyentuh tentang usaha untuk menswastakan sekolah menengah dan sekolah rendah St Joseph.

“Jika St Joseph menjadi sekolah swasta yang akan memberi dan menyediakan pendidikan terbaik dengan me-milih pelajar terbaik daripada masyarakat Iban, Melayu, Melanau, Cina dan lain-lain untuk mencapai kejayaan, teruskan sahaja usaha itu.

“Ini (St Joseph) merupakan sebuah sekolah yang bagus de-ngan rekod kecemerlangan dan mahu terus memberi pendidikan dengan kualiti terbaik kepada pelajar, usaha ini dapat menghasilkan lebih ramai ahli perniagaan, golongan profesional, guru, ahli politik dan penyelidik yang akan mentransformasikan negara kita,” katanya.

Taib dalam ucapannya juga memberitahu bahawa beliau suatu masa dahulu pernah memohon daripada kerajaan pusat untuk membuka lebih banyak universiti, kolej dan pusat pembangunan latihan di negeri ini.

Dalam usaha itu, beliau telah memperuntukkan 1,000 ekar tanah di bahagian Samarahan untuk membina universiti yang diberi nama Universiti Malaysia Sarawak kini.

“Hari ini, dengan rasa bangga sebagai pro-canselor di beberapa universiti, saya gem-bira melihat masyarakat daripada pelbagai kaum seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi telah menamatkan pengajian mereka dengan sijil masing-masing,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut pemimpin BN iaitu Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing dan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Dato Sri Wiliam Mawan Ikom.