Dayang Salhah Awang Weldan Jutawan senyap kek lapis

0

PADA usia baru mencecah 47 tahun, Dayang Salhah Awang Weldan, selayaknya merangkul Anugerah Peladang Jaya Wanita sempena Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Betong pada 31 Julai-2 Ogos tahun lalu, apabila beliau berjaya untuk meraih gelaran ‘jutawan senyap’ hanya menerusi projek kek lapis yang diusahakan-nya.

Dayang Salhah memu-lakan projek Kek Lapis Sara-wak secara kecil-kecilan di rumahnya sendiri di Kampung Gersik, Petra Jaya, Kuching sejak tahun 1997.

Untuk mempelbagaikan hasilnya, selain membuat Kek Lapis Sarawak, beliau juga turut membuat ‘Swiss Roll’. Pada awalnya, Dayang Salhah hanya mempunyai 10 tenaga kerja yang membantunya dan kebanyakan mereka dari kalangan ahli keluarga dan saudara mara, sehinggalah tertubuhnya sebuah syarikat perniagaan pembuatan makanan.

Suri rumah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Gersik, Petra Jaya, Kuching dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Haji Openg, Petra Jaya, merupakan salah seorang ahli aktif di dalam Unit 059 Bandaraya di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuching sejak Ogos 2002 dengan number keahlian 4300.

Beliau yang kini mempunyai RM110.00 saham di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching amat berterima kasih kepada PPK Kuching kerana telah banyak membantu beliau dalam pelaksanaan projek kek lapis tersebut sama ada dari segi nasihat, bimbingan dan juga kewangan hingga beliau mampu berdikari.

PENCAPAIAN

Selepas sembilan tahun berkecimpung sebagai usahawan kek lapis dari rumah sendiri, Dayang Salhah boleh berbangga kini, apabila beliau akhirnya berjaya menubuhkan sebuah syarikat milik diri sendiri iaitu

‘Dayang Salhah Enterprise’ pada 19 Mei 2006.

Hari ini ‘Dayang Salhah Enterprise’ mempunyai dua kilang yang terletak di Industries MARA (KIM) di Lot 1191 & 1192, Blok 7, Estet Perindustrian Demak Laut di Jalan Bako, Kuching dan di SMI Industrial Park, Demak Laut, Blok 8, Muara Tebas juga di Jalan Bako, Petra Jaya, 93050, Kuching.

Setakat ini terdapat 160 pekerja yang mempunyai pelbagai kepakaran, komitmen dan dedikasi untuk memenuhi keperluan pelanggan mereka.

Manakala pusat pemasarannya, Dayang Salhah masih lagi beroperasi di No 40, Kampung Gersik, Petra Jaya, Kuching sejak 1997 sehingglah sekarang.

Kedai jualan yang terletak di tebingan Sungai Sarawak betul-betul berhadapan dengan Hotel Maghrarita Kuching dan begitu strategik untuk para pelancong yang tinggal di kawasan ‘Segitiga Emas’ di mana mereka boleh menyeberang sungai dengan sampan untuk terus membeli kek lapis.

Selain itu syarikat Dayang Salhah Enterprise juga mengadakan perkhidmatan penghantaran terus tempahan kek lapis ke destinasi yang dikehendaki oleh pelanggan dan pelancong.

Keistimewaan kedai Kek Lapis Sarawak di Kampung Gersik ialah ia turut menyediakan layanan istimewa kepada semua pengunjung dengan sajian jamuan ringan dan merasakan Kek Lapis Sarawak buatan Dayang Salhah dengan sepuas-puasnya.

Malah di kedainya, beliau menyediakan ruang pameran dan jualan yang luas untuk para pengunjung memilih 53 jenis kek lapis pelbagai corak dan rasa di mana beliau sentiasa menambah baik kualiti kek di samping memperbanyakkan jenisnya.

Istimewanya lagi, kedai ini turut menyediakan dan membolehkan ‘Dapur Kek Lapis Sarawak’ di Kampung Gersik yang boleh dilawati serta dilihat dengan mata sendiri oleh sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui semua proses penghasilan ‘Kek Lapis Sarawak’.

Walaupun berjaya dengan memiliki dua buah kilang namun Dayang Salhah tetap memberikan tumpuan khas kepada dua keluarannya iaitu Kek Lapis Sarawak dan Swiss Roll. Hari ini jenama syarikat beliau – Kek Lapis Dayang Salhah – tidak asing lagi di kalangan penduduk tempatan serta penggemar Kek Lapis Sarawak termasuk pelancong asing.