Peladang Jaya raih pendapatan lumayan ternak ayam daging

0

AHMAD Maleng, 64, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ong Tiang Swee, kini sudah boleh berbangga dengan hasil titik peluhnya dalam bidang perniagaan, selepas mencatatkan kejayaan sebagai usahawan projek ternakan ayam daging.

Malah pesara awam yang berasal dari Kampung Semarang, Kuching ini turut menerima anugerah dan pengiktirafan di peringkat negeri kerana kejayaannya sebagai satu-satunya usahawan ayam daging dan berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuching.

Sehingga sekarang beliau masih lagi berkhidmat dengan PPK Kuching selama 23 tahun sejak 23 November 1988 dan akan terus bergerak aktif. Nombor keahlian beliau di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuching adalah 1575 dan sehingga kini telah melabur saham berjumlah RM274.20. Selain dari itu beliau juga dipilih sebagai Ketua Unit Peladang bagi 015 Rampangi.

Ahmad Maleng adalah satu-satunya usahawan ayam daging dan telah memulakan projek ayam daging tersebut sebagai ladang kontrak dan projek usahasama dengan CCK Kuching sejak 2003 sehingga kini.

Lokasi projek beliau adalah di Lot 60,

Skim Pertanian Rampangi, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, Kuching dengan saiz ternakan meliputi 28,000 ekor ayam dalam satu pusingan di mana tiga pusingan setahun telah dipersetujui dan dilaksanakan.

Jumlah tenaga kerja yang terlibat dengan kejayaan projek ini adalah empat orang di mana tiga orang adalah sepenuh masa dan seorang lagi secara sambilan.

Untuk melicinkan perlaksanaan projek ini, beliau telah mendapat khidmat nasihat, bimbingan serta bantuan kewangan RM30,000 dari Pembangunan Usahawan Peladang, RM20,000 dari AGROBANK dan modal sendiri berjumlah RM15,000.

Kebiasaannya, jumlah pendapatan bersih setahun adalah lingkungan RM120,000 dengan jumlah pendapatan RM540,000 dan kos projek RM420,000.

Selain daripada projek ayam daging, beliau mempelbagaikan bidang usaha dan menceburi empat projek seperti berikut:

i. Menternak 50 ekor kambing.

ii. Menternak enam tangki simen ikan keli.

iii. Memproses baja-baja organik.

iv. Projek sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya.


PENGIKTIRAFAN

Ahmad Maleng telah dianugerahkan sebagai ‘Peladang Jaya Lelaki’ bagi tahun 2010 sempena Pertandingan Peladang Jaya semasa Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sarawak yang telah diadakan pada 31 Julai -2 Ogos 2010 di Betong.

Selain itu beliau juga dianugerahkan sebagai ‘Ketua Unit Contoh Pertubuhan Peladang Kawasan Kuching’ pada tahun 2005.

Pada tahun 2009, Ahmad dianugerahkan sebagai ‘Anak Angkat Contoh’ oleh CCK, Kuching.

PERANCANGAN

Sebagai perancangan di masa depannya, penerima anugerah Peladang Jaya ini berhasrat untuk membesarkan kapasiti dari projek yang sedia ada dari 28,000 ekor ayam/pusingan ke 35,000 ekor/pusingan.

Di samping itu beliau juga mahu menambah projek kambing ke 100 ekor; menjalankan aktiviti penyembelihan ayam untuk dijual di sekitar Kampung Semarang dan Kampung Rampangi serta meningkatkan lagi rumah keluaran baja organik yang diproses dari tahi ayam.

Ahmad juga bercadang mahu memperbesarkan lagi projek ternakan ikan keli serta penanaman sayur-sayuran di samping menjadikan projek pertanian dan penternakan yang sedia ada ini sebagai projek ekopelancongan untuk lawatan orang ramai.

Jika anda berhasrat mahu mendapatkan bekalan daging ayam, berurusan dan sebagainya, boleh menghubungi beliau di talian 082-440722 ataupun 013-8101947.