Pembunuh cuba rayu hukuman

0

LIMA: Lelaki Belanda Joran Van der Sloot, mengaku membunuh seorang wanita di Peru dan suspek utama dalam kehilangan seorang remaja Amerika, sedang berusaha mendapatkan hukuman yang lebih ringan bagi jenayah yang dilakukannya di Peru, kata peguamnya kelmarin.

“Sasaran beliau adalah untuk disabitkan atas jenayah yang telah dilakukannya sebagai sesuatu yang lain daripada homisid,” kata peguamnya Maximo Altez, sambil menjelaskan bahawa anak guamnya akan membuat rayuan ‘emosi ganas’.

Sekiranya disabitkan bagi homisid, Van der Sloot, 23, akan berdepan hukuman penjara hingga 25 tahun.

Hukuman yang dikurang-kan akan menyebabkannya meringkuk di penjara Peru tiga hingga lima tahun saja.

Van der Sloot telahpun didakwa atas pembunuhan Stephany Flores, 21, pada 30 Mei, 2010 di sebuah bilik hotel di Lima, selepas ditangkap di Chile dan diserahkan kepada pihak berkuasa Peru.

Pasangan terbabit telah bertemu di kasino di Lima.

Tertuduh didakwa mem-bunuh dalam kes Flores, selain merompak kerana didakwa mengambil lebih AS$10,000 wang judi mangsa.

Van der Sloot sudah lama disyaki dalam kes melibatkan remaja Amerika Natalee Holloway, yang berusia 19 tahun ketika hilang semasa lawatan graduasi sekolah tinggi pada 2005 ke Aruba, di mana suspek tinggal ketika itu, malah mangsa kali terakhir dilihat dalam sebuah kereta bersama suspek.

Jun lepas, juri agung Amerika Syarikat (AS) mendakwanya atas tuduhan penipuan dan peras ugut, di mana tertuduh mendapatkan AS$250,000 daripada ibu Holloway setelah berjanji akan memberitahu lokasi mayat anaknya yang hilang itu, termasuk kejadian yang menjurus kepada kematiannya. — AFP