PIBG perlu main peranan bantu wujudkan sekolah cemerlang

0

ENGKILILI: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) harus memainkan peranan membantu mewujudkan sekolah cemerlang sekali gus melahirkan generasi pelajar berkualiti yang bakal mewarisi kepimpinan negara kelak.

SELAMAT DATANG: Dr Rayong (tengah) bersama rombongan dan penduduk kampung semasa tiba di SK Empelam, Engkilili.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong berkata, berikutan itu kerjasama dan hubungan rapat di antara guru dan ibu bapa adalah satu faktor utama memastikan pendidikan berfungsi secara berkesan.

“Sesebuah sekolah tidak boleh bergerak sendiri untuk maju ke hadapan tanpa sokongan daripada ibu bapa,” katanya semasa berucap merasmikan Sukan Darat Tahunan Sekolah Kebangsaan Empelam, di sini, kelmarin.

Menurut Dr Rayong, tanpa sokongan padu daripada ibu bapa, impian untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang tidak akan tercapai.

Sehubungan itu, kerjasama ibu bapa dan guru dalam membincangkan hal-hal sekolah berkaitan dengan pendidikan anak-anak mereka adalah penting supaya pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan, tambahnya.

“Pastikan anak-anak belajar di sekolah dan juga di rumah. Anda (ibu bapa) perlu menggalakkan mereka (anak-anak) mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah,” kata Dr Rayong.

Selain itu katanya, PIBG dapat membantu pihak sekolah menganjurkan sesuatu aktiviti serta memainkan peranan dalam menggalakkan anak-anak mereka menyertai aktiviti sekolah.

Dr Rayong berpesan kepada pelajar agar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin untuk kegunaan bersama.

“Semua kemudahan di sekolah ini harus dijaga dengan sebaik-baiknya dengan harapan agar proses pembelajaran berjalan lancar dan anggaplah kemudahan itu milik kita semua,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, memang tidak dapat dinafikan peranan dan tanggungjawab PIBG di sesebuah sekolah memberi kesan kepada kemajuan dan percapaian sekolah kerana persatuan berkenaan menjadi medium untuk mencetuskan hala tuju dan matlamat sekolah ke arah kecemerlangan pendidikan.

“Kecemerlangan sesebuah organisasi atau persatuan amat bergantung kepada elemen yang perlu digerakkan secara bersama”, ujarnya.