Site Last Updated 12:00 am, Friday

SIDS amat bernilai, mesti dipertahankan

by Watt Zacchaeus. Posted on March 9, 2011, Wednesday

Alice Jawan mahu wanita guna persatuan untuk membangunkan diri dan keluarga

TAHNIAH: Alice (tengah) menyampaikan insentif kepada Jessica Laura Kinsella yang memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR tahun lalu sambil diperhatikan oleh Monica (kanan).

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) merupakan satu pergerakan amat bernilai yang mesti dipertahankan oleh semua kaum wanita Dayak di negeri ini.

Kewujudan SIDS sejak sekian lama di negeri ini berjaya menyatukan kaum wanita Dayak serta menyumbang kepada pembangunan diri dari segi ekonomi, pendidikan dan taraf hidup.

“Oleh itu, SIDS wajar dipertahankan oleh kita sendiri… jika tidak, kita sendiri yang akan rugi kerana banyak manfaat di dalam SIDS.

“Selain itu, SIDS juga berperanan membantu kerajaan melancarkan segala program kebudayaan, kraf tangan dan sebagainya,” ujar Pengerusi SIDS Cawangan Sibu, Alice Jawan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-19 SIDS Cawangan Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Naib Pengerusi SIDS Cawangan Sibu Monica Giri, Setiausaha SIDS Cawangan Sibu Angelyn Uchi Maseng serta ahli-ahli SIDS Cawangan Sibu yang lain.

Alice berkata, SIDS berperanan penting dalam mempromosikan kebudayaan masyarakat Dayak kepada orang luar, sekali gus membantu kerajaan memperkenalkan budaya di negeri ini.

“Justeru, saya mahu wanita Dayak agar bijak menggunakan peranan persatuan ini untuk memperbaiki diri dalam menempuh kehidupan pada zaman serba canggih ini.

“SIDS adalah platform untuk membantu wanita Dayak mengembangkan ekonomi, pendidikan, corak kehidupan dan sebagainya, sekali gus setaraf dengan kaum-kaum lain,” tegasnya.

Sementara itu, Alice menyeru wanita Dayak agar bersatu di bawah satu payung (SIDS) bagi kebaikan bersama dan dapat berkongsi idea serta kemahiran melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Harus diingat bahawa semua wanita Dayak harus bersatu dan bekerjasama dalam mempertahankan SIDS agar ia terus kekal sampai bila-bila. Hanya kita sendiri sahaja yang boleh menentukan arah tuju SIDS ini pada masa akan datang,” tambah beliau.

Alice turut merakamkan penghargaan kepada beberapa wakil rakyat di sini seperti Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan ADUN Tamin Joseph Mauh Ikeh kerana telah membantu serta memberikan sokongan kepada SIDS Cawangan Sibu dengan memberikan geran sebelum ini.

Pada majlis sama, seramai 13 pelajar terdiri daripada anak-anak ahli SIDS Cawangan Sibu menerima insentif masing-masing kerana memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam pada tahun lalu.

Seramai 320 orang ahli SIDS Cawangan Sibu dari 17 kawasan SIDS di sini hadir pada AGM tersebut yang disusuli dengan seminar dan majlis makan malam.

Kawasan-kawasan di bawah naungan SIDS Cawangan Sibu ialah Sentosa 1 dan 2, Seduan Jaya, Sukun, Rejang Park, Permai, Sibu Jaya, Hospital/Oya, Maludan/Menyan, Naman, Bukit Besai,Teku, Pasai, Aup, Rantau Panjai, Penasu, dan Pasin (Bahagian Mukah).

Pada AGM tersebut, Alice mengekalkan jawatannya sebagai pengerusi SIDS Cawangan Sibu bagi sesi 2011 setelah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahlinya.

Ini bermakna, ahli exco SIDS Cawangan Sibu pada sesi yang lepas turut dikekalkan tanpa dipertandingkan.

Mereka yang kekal ialah Monica Giri (naib pengerusi), Angelyn Uchi Maseng (setiausaha), Catherine Kundau (penolong setiausaha) dan Magdalen Sinah (bendahari) dan Timah Unggit (penolong bendahari).

Turut kekal sebagai ahli-ahli jawatankuasa ialah Priscilla Bunsi David, Sitie Tuba, Magdaline Sigi, Rosalind Sandah dan Michelle Hildalyne Anthony.

SIDS Cawangan Sibu ditubuhkan pada tahun 1989 serta mempunyai kira-kira 1,246 orang ahli.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.