Tabung Haji serah RM1.53 juta zakat perniagaan untuk Pulau Pinang

0

LEMBAGA Tabung Haji (TH) Selasa lepas menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1.53 juta untuk Pulau Pinang bagi tahun lepas.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menerimanya bagi pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang daripada Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji, TH Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Saleh berkata pemberian zakat untuk negeri ini meningkat sebanyak 4.1 peratus tahun lepas berbanding RM1.46 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata tahun lepas, TH membayar zakat perniagaan berjumlah RM35.88 juta kepada Majlis Agama dan Lembaga Zakat Pulau Pinang.

“Jumlah pembayaran zakat tahun 2010 meningkat sebanyak RM1.96 juta berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM33.92 juta,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan zakat di George Town.

Syed Saleh berkata mulai tahun 2004, pembayaran zakat perniagaan TH dilaksanakan berdasarkan tempoh perkiraan tahun Masihi.

Beliau berkata daripada 14 negeri, Pulau Pinang berada pada kedudukan ke-19 dari segi jumlah bayaran zakat perniagaan.

Selain itu, katanya hingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak lebih 225,000 penduduk Islam di Pulau Pinang telah menjadi penyimpan TH dengan simpanan terkumpul sebanyak RM 1.08 bilion.

Katanya TH Pulau Pinang menyasarkan 50 peratus penduduk Islam di negeri ini menjadi pendeposit pada tahun depan. — Bernama