Pendidik disaran memainkan peranan penting termasuk pendidikan di peringkat akar umbi

0

KUCHING: Mereka yang terlibat dalam profesion pendidikan disaran memainkan peranan penting termasuk pendidikan di peringkat akar umbi untuk  melahirkan rakyat Malaysia yang berupaya mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

Pegawai Pelajaran Daerah Serian Narawi Udin berkata selain menjaga kebajikan para pelajar, guru juga harus sentiasa memajukan diri bagi memastikan mereka dapat memberi pendidikan berkualiti kepada anak didik.

“Kualiti pendidikan di mana-mana negara tidak pernah mengatasi kualiti seseorang guru.

“Sebab itu guru memainkan peranan besar yang akan menentukan hala tuju pendidikan.

“Selain itu guru juga hendaklah menyediakan mentaliti yang betul kepada pelajar dalam menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya semasa berucap pada majlis perpisahan beliau di sini, malam kelmarin.

Narawi yang terlibat dalam profesion pendidikan lebih daripada 38 tahun turut mengimbas kembali pengalamannya yang bermula sebagai guru sandaran sehingga menjadi pegawai pendidikan di Serian.

“Daripada pengalaman bertahun saya, saya telah mempelajari untuk melakukan strategi dan membangunkan sistem pendidikan serta strategi pengurusan bagi memastikan kemajuan berkekalan,” tambahnya.

Sementara itu Penolong Pegawai Pelajaran Serian Yunus Apok dalam ucapannya turut melahirkan rasa gembira dengan kemahiran kepimpinan Narawi dan memberi jaminan jabatan akan meneruskan matlamat beliau (Narawi).

“Kami banyak belajar daripada Narawi, beliau membawa visi dan pengurusan yang baik kepada Jabatan Pelajaran Daerah Serian,” katanya.

Narawi berkhidmat dalam profesion pendidikan bermula pada 1970 sebagai guru sandaran di SK Kampung Melayu, Samarahan dan ditempatkan bekerja ke SMK Limbang pada 1973 hingga 1975 selepas menamatkan pengajian di Kolej Latihan Perguruan Batu Lintang pada 1972.

Bermula pada 1976 hingga 1977, Narawi mengajar di SMK Datuk Patinggi Haji Abdul Gapor, Stampin Kuching sebelum naik pangkat menjadi pengetua SMK (BM) Saratok pada tahun 1978 hingga 1981 dan kemudian ditempatkan ke SMK Tunku Abdul Rahman, Kuching bermula pada 1981 dan 1982.

Beliau mempunyai beberapa portfolio dalam Jabatan Pelajaran Negeri bermula 1987 hingga 2001 kecuali pada 1996 dan 1997 apabila beliau menjadi pengetua SMK Santubong.

Beliau juga menjadi penolong pengetua di SM Sains Kuching bermula 2001 hingga 2003 sebelum menjadi pengetua SMK Lundu pada 2006.

Mengulas mengenai peranannya sebagai pegawai, beliau bermula di Jabatan Pelajaran Samarahan pada 2006 hingga 2008 sebelum berpindah ke Jabatan Pelajaran Daerah Serian.