Kolej Kejururawatan Sime Darby jalinkan kerjasama dengan universiti terkemuka UK

0

MEREKA yang mahu mendapatkan ijazah dari Britain dalam bidang kejururawatan di negara ini akan berpeluang berbuat demikian ekoran kerjasama yang telah dimeterai antara Kolej Kejururawatan & Sains Kesihatan Sime Darby dengan Universiti Hertfordshire, United Kingdom (UK).

Pengajian sepenuh masa Ijazah Sains (Kepujian) dalam bidang Kejururawatan Kontemporari dijadual bermula pada Januari 2012.

Program pengajian selama dua tahun itu akan membolehkan pelajar menjimatkan lebih 50 peratus dalam yuran kursus dan tusyen selain dalam kos penginapan dan sara hidup.

Program ijazah itu adalah bagi mereka yang mahu mendapatkan Diploma Kejururawatan dan ingin melanjutkan pengajian mereka dalam bidang ini.

Ia juga relevan bagi jururawat yang berpengalaman dan ingin meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan dalam kepakaran khusus mereka.

Mereka yang berjaya menjalani program ijazah itu akan dianugerahkan dengan ijazah Universiti Hertfordshire.

Sekolah Kejururawatan, Kebidanan dan Kerja Sosial adalah antara sekolah kejururawatan terbesar di UK, yang menawarkan pelbagai pilihan latihan dan pendidikan pra dan pasca kelayakan.

Ia juga merupakan penyedia latihan dan pendidikan bagai dua pihak berkuasa kesihatan strategik yang terbesar di UK – East of England dan London.

“Kami bangga bekerja dengan sebuah institusi akademik yang terkemuka seperti Universiti Hertfordshire untuk memudahkan peralihan pelajar kepada program ijazah kejururawatan kontemporari di universiti itu selepas menamatkan kelayakan yang diperlukan,” kata Pengarah Urusan Bahagian Penjagaan Kesihatan Sime Darby, Raja Azlan Raja Azwa.

Beliau berkata demikian di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Universiti Hertfordshire di Pusat Perubatan Sime Darby yang diperakui oleh Joint Commission International (JCI) di Subang Jaya.

Kolej itu adalah subsidiari milik sepenuhnya oleh Penjaga Kesihatan Sime Darby yang turut memiliki tiga pusat perubatan khususnya Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Pusat Perubatan Pakar Sime Darby Megah dan Pusat Perubatan Sime Darby Ara Damansara.

Timbalan Dekan Fakulti Kesihatan dan Sains Manusia, Dr Lyn Karstadt menandatangani MOU itu bagi pihak Sekolah Kejururawatan, Kebidanan dan Kerja Sosial di Universiti berkenaan.

Ketua Eksekutif Kolej Kejururawatan & Sains Kesihatan Sime Darby, Shanaz Mawji berkata MOU itu satu daripada banyak inisiatif Kolej tersebut untuk memajukan peluang-peluang baru bagi mahasiswa.

Program itu direka untuk menyokong usaha meningkatkan penjagaan dan pembangunan profesional berterusan bagi jururawat yang bekerja dalam pelbagai suasana.

Program Kejururawatan Kontemporari Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) bertujuan menghasilkan graduan yang peka dan berpengetahuan di dalam industri berkenaan, mempamerkan kemahiran analisis yang cemerlang dan meningkatkan keberkesanan penjagaan yang diberikan kepada pesakit serta keluarga mereka.

Program tersebut menyediakan dua modul khas dan unik yang pasti menjadi faedah tambahan bagi pelajar di dalam kerjaya mereka.

Kursus ijazah itu disampaikan dan dinilai menerusi tugasan yang diberikan oleh kakitangan fakulti Universiti Hertfordshire.

Program itu dipastikan relevan kepada keperluan industri oleh kakitangan akademik yang bertemu untuk membentuk, menyemak semula dan menghalusi bidang-bidang pengajian.

Kedudukan tinggi Universiti Hertfordshire di UK disahkan oleh beberapa tinjauan baru-baru ini yang meletakkannya di antara yang tertinggi dalam pelajaran dan penyelidikan.

Ia diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai sebuah pusat kecemerlangan bagi penyelidikan Kejururawatan dan Kebidanan dan diletakkan di tempat keenam bagi penyelidikan kejururawatan di dalam Research Assessment Exercise (RAE) atau Kerja Penilaian Penyelidikan terkini di UK.

Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Sime Darby merupakan antara perintis pendidikan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Kolej itu ditubuhkan pada 1995 dan didaftarkan sebagai sebuah Penyedia Pengajian Tinggi dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kolej itu, dengan rekod kecemerlangan akademik, sentiasa mencapai kelulusan 98 peratus semenjak 15 tahun lalu dalam Peperiksaan Pendaftaran yang dijalankan oleh Lembaga Kejururawatan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Sime Darby dan pelbagai pilihan akademiknya, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.simedarbyhealthcare.com atau e-mel pertanyaan kepada [email protected].

Mereka juga boleh menghubungi Shamili (019-2166496), Fuad (019-2166130), Nurrin (019-2166956), Claire (012-3088270) atau Liam (016-5231218).