Tarian Kemanusiaan Antarabangsa di Miri pada 26 Jun

0

MIRI: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cabang Miri akan mengadakan Tarian Kemanusiaan Antarabangsa yang kelapan pada 26 Jun akan datang di Stadium Tertutup Miri.

Acara bertemakan ‘Together for International Peace and Harmony’ itu akan dilakukan selama lima jam tanpa henti bermula jam 1 petang hingga 5.30 petang.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Geoge Chan berkata aktiviti berkenaan bertujuan mempromosikan keamanan dan harmoni dan semangat bersatu dalam masyarakat majmuk melalui tarian kebudayaan.

“Ia juga merupakan aktiviti yang menunjukkan bahawa semangat perpaduan wujud di kalangan kita di sini.

“Justeru, semangat sedemikian perlu dikekalkan dan melalui tarian yang akan kita anjurkan nanti, ia sedikit sebanyak dapat memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan ini,” ujarnya dalam majlis penyampaiaan kad derma kepada wakil-wakil yang menyertai Tarian Kemanusiaan Antarabangsa di dewan serba guna PBSMM petang kelmarin (Sabtu).

Jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, sejak aktiviti berkenaan dianjurkan oleh pihak PBSMM bermula pada 2004, ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

Katanya, PBSMM melalui aktiviti berkenaan telah membina budaya aman dan harmoni.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos perbelanjaan sepanjang aktiviti terbabit.

Kad derma juga akan diedarkan bagi mengumpul dana di kalangan ahli, organisasi dan agensi-agensi yang ada di sini.

Derma yang melebihi RM5 berpeluang untuk mendapatkan cabutan tiket bertuah yang menjanjikan tiga hadiah utama dan banyak lagi hadiah-hadiah sampingan.

Turut hadir Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin dan Pengerusi Tarian Kemanusiaan Antarabangsa Judy Wan Morshidi.