Mayat bayi yang mati selepas disuntik ubat digali semula

0

BINTULU: Mayat bayi yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sebuan Besar digali semula untuk bedah siasat sekitar jam 2.45 petang atas perintah Mahkamah Majistret semalam.

Proses penggalian mayat bayi itu oleh pihak polis selesai pada jam 2.50 petang sebelum dibawa ke kenderaan polis seterusnya ke Bilik Mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Bayi yang meninggal dunia itu merupakan bayi perempuan yang belum dinamakan dan laporan untuk menggali mayat bayi itu telah dipohon oleh bapa kepada bayi tersebut,

Awang Azemi Awang Iri, 45, di Pusat Sehenti Polis pada jam 3.31 petang 15 Mac lalu. Beliau yang bekerja sebagai pemandu jentera berat dalam laporannya berkata pada 14 Mac kira-kira jam 4.30 petang, beliau

telah menerima panggilan telefon daripada isterinya, Jaita Julaihi, 39, yang memaklumkan kepadanya bahawa anak perempuan mereka yang baru dilahirkan dua hari sebelumnya telah meninggal dunia selepas menerima suntikan ubat daripada jururawat di Hospital Bintulu kerana disyaki dijangkiti kuman sedangkan anaknya kelihatan sihat.

Bapa yang juga pengadu tidak puas hati lalu membuat laporan polis dan rujukan pihak hospital di Pusat Sehenti Polis.

Siasatan telah dijalankan oleh Inspektor Peterson Ray Tang dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu Mematikan Orang Dengan Salah.

Permohonan penggalian mayat oleh pihak polis disebabkan pengadu dan saksi menyatakan bahawa kematian mangsa adalah disebabkan kesalahan suntikan ubat melalui tangan iaitu melalui salur darah.

Pengadu berkata, anaknya sihat sebelum disuntik ubat dan penggalian itu juga adalah untuk mengadakan bedah siasat ke atas mayat si mati oleh pegawai perubatan bagi mengenal pasti punca kematian.

Atas sebab-sebab itu Jabatan Siasatan Jenayah telah membuat permohonan perintah mahkamah di bawah Seksyen 335 Kanun Prosedur Jenayah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah untuk menggali mayat yang telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sebuan Besar Bintulu dalam tempoh tujuh hari.

Kelmarin, Majistret Ahmad Dzulfadzli Hamdan di Mahkamah Majistret Bintulu telah meluluskan  p e rmo h o n a n  p e g awa i penyiasat dalam tempoh tujuh hari itu sebelum 23 Mac untuk siasatan lanjut kes terbabit.

Sementara itu, Majistret Ahmad Dzulfadzli turut berada di tanah perkuburan semasa proses penggalian mayat bayi yang belum dinamakan itu semalam.

Dalam pada itu, pengadu juga mempunyai empat anak lain yang terdiri daripada dua perempuan dan dua lelaki.